KUALA LUMPUR: Kejayaan calon Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu adalah bukti semangat kekitaan yang erat antara parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun isu UMDAP (UMNO-DAP) dimainkan oleh pihak tertentu pada pilihan raya itu namun jalinan di antara Barisan Nasional (BN), PH dan parti komponen lain kekal utuh menjadi tunjang kepada kerajaan.

"... tunjang ini mesti diperkukuh, saya telah nyatakan bahawa kepimpinan DAP banyak membantu calon BN dalam pilihan raya-pilihan raya kecil dan ini pertama kali calon DAP bertanding di PRK, tidak salah jika kita membalas budi yang telah ditabur oleh mereka.

"Kejayaan hari ini adalah satu bukti bahawa jika kita mempunyai daya tahan yang tinggi, apapun yang disimbah oleh pihak seteru politik, kita tetap kukuh, tetap utuh untuk mempertahan Kerajaan Perpaduan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Sambutan Ulang Tahun ke-78 UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada calon dan PH berikutan kejayaan dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

"Terima kasih juga kepada jentera BN dan UMNO serta jentera Kuala Kubu Baharu di seluruh negeri Selangor termasuk kawan-kawan dari bahagian-bahagian lain seluruh negara," katanya.

Pang Sock Tao, yang bertanding atas tiket PH mewakili Kerajaan Perpaduan, menang dengan majoriti 3,869 undi menewaskan tiga pencabarnya, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).

Pang memperoleh 14,000 undi manakala Khairul Azhari meraih 10,131 undi, Nyau (188) dan Hafizah (152).
- BERNAMA