BANYAK reaksi, analisis dan komen telah dilontarkan susulan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB).

PRK yang amat sengit sehingga sukar untuk meramalkan bakal keputusan, sehingga malam menjelang hari pengundian biasa 11 Mei lalu.

Sejak awal lagi sudah dijangkakan bahawa PRK kali ini akan berhadapan dengan persaingan sengit – amat sengit, sehingga membawa kepada ramalan bahawa calon Pakaran Harapan (PH), yang diwakili oleh DAP, mempunyai peluang untuk menang tetapi majoriti tidak akan sama seperti ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu dan Pilihan Raya Umum (PRU) 2018. Kemungkinan seakan majoriti PRU 2013 atau lebih rendah.

Dalam ulasan kepada media sejurus selepas hari penamaan calon, saya pernah berkongsi pandangan bahawa PRK kali ini, yang pertama di Selangor selepas PRN yang dipanggil Ogos lalu, merupakan yang sangat mencabar dalam dua dekad ini.

PRK Lunas pada tahun 2000, yang diadakan di sebalik kehangatan krisis politik, disifatkan sebagai gelanggang yang akan menarik untuk diperhatikan.

Daripada pelbagai sudut. Begitu juga PRK kerusi Parlimen Johor Bahru, Johor dan Ampang Jaya, Selangor, juga yang diadakan di tengah-tengah suhu panas politik negara di penghujung 1980-an.

Sehari selepas PRK Kuala Kubu Baharu diketahui, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan telah mengutus ucapan terima kasih kepada parti itu dan Barisan Nasional (BN) kerana membantu memberi kemenangan kepada calon mereka.

Sesungguhnya laporan itu juga sesuatu yang menarik untuk diulas.

Menurut Ahmad Zahid, juga Pengerusi BN, beliau menerima panggilan daripada Anwar sebelum Pengerusi PH itu berlepas ke luar negara untuk lawatan kerja.

Timbalan Perdana Menteri menambah bahawa penghargaan tersebut ditujukan kerana BN berjaya memenangi semua lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu di Kuala Kubu Baharu, salah satu kerusi dalam bahagian Parlimen Hulu Selangor yang mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri kesemuanya.

Sejak Ogos lalu, dua lagi kerusi berada dalam penguasaan Perikatan Nasional (PN).

Kerusi Hulu Selangor juga pernah menyaksikan PRK pada 2010. Pun begitu saingan kali ini agar luar biasa. Hulu Selangor pernah menjadi kubu kuat BN sejak bahagian tersebut dibentuk untuk dipertandingkan pada tahun 1974.

Walaupun empat calon bersaing dalam PRK ini, tetapi persaingan lebih tertumpu ke arah PH dan PN, dua gabungan besar pada masa sekarang. PH mempertahankan Kuala Kubu Baharu, yang disandang sejak 2013, selepas calonnya, Pang Sock Tao memperoleh sebanyak 14,000 undi dengan majoriti 3,869, kurang sedikit berbanding Ogos lalu.

Pengamal media dan Setiausaha Akhbar menteri berusia 31 tahun menewaskan tiga pencabarnya iaitu calon PN, Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas, Nyau Ke Xin. Ogos lalu, PH mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 4,119 manakala pada tahun 2018 dengan perbezaan undi 7,134.

Lima tahun sebelum itu, calon Pakatan Rakyat (sebelum kelahiran PH) menang dengan majoriti 1,702 undi. Sehingga 2013, kerusi itu berada dalam kuasa BN, yang calonnya dari MCA.

Beberapa pemimpin PH pelbagai peringkat yang ditemui di pelbagai peringkat sepanjang tempoh berkempen, termasuk beberapa jam menjelang pengundian, tidak dapat memberi rumusan tentang perbezaan undi yang bakal diperoleh.

Mereka yakin calon mereka boleh menang, tetapi berhadapan dengan ‘kekangan’ untuk menyatakan dengan penuh yakin akan majoriti sebenar yang boleh direkodkan. Keadaan ini berterusan sehingga jam-jam terakhir sebelum 11 Mei.

Malah sehingga saat keputusan tidak rasmi diketahui, sekitar dua jam selepas proses pengundian ditutup.

Ketidaktentuan ini berterusan di sebalik langkah beberapa pihak meminta pengundi kaum India menunjukkan protes terhadap PH yang didakwa tidak memenuhi tuntutan dan permintaan komuniti itu.

MIC yang awalnya dilaporkan tidak mahu turun berkempen mengubah pendirian mereka. MCA kekal dengan pendirian tidak mahu terlibat dalam kempen dan tidak menyatakan sokongan kepada calon PH.

Alasan parti itu semua sedia maklum. MCA dan MIC merupakan empat komponen yang tinggal dalam BN selepas perubahan angin susulan keputusan PRU 2018.

Tekanan yang dihadapi PH ini wujud di sebalik tanggapan bahawa pengundi kaum India merupakan penentu atau ‘king maker’ di Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan kemenangan calon mereka Pang Sock Tao, sekali gus mempertahankan Kuala Kubu Baharu  adalah bukti kerjasama dalam kerajaan perpaduan kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat.

Beliau merumuskan Pang berjaya mempertahan kerusi milik DAP itu dengan majoriti yang meyakinkan dan selesa.

Sehari sebelum hari pengundian, beliau yang juga Menteri Pengangkutan menzahirkan keyakinan PH optimis mampu mempertahankan kemenangan.

Ini, menurut beliau, adalah kerana jentera pilihan raya parti itu sudah melakukan segala yang terbaik sepanjang tempoh berkempen.

"Sekarang terpulang kepada rakyat (untuk memilih), hari ini pun dah hari terakhir kempen, semalam juga kita telah adakan ‘grand finale’ dan pimpinan semua parti juga hadir, kita telah lakukan kempen terbaik, terpulang kepada pengundi untuk menilai. Sudah tentu kita ada keyakinan dan saya harap keyakinan itu dapat diterjemahkan nanti," kata beliau kepada wartawan selepas satu majlis di Seremban, Negeri Sembilan menjelang 11 Mei.

Beberapa sumber kalangan pemimpin UMNO yang ditemui di lapangan, sekitar empat hari sebelum hari pengundian, menunjukkan mereka yakin PH akan mengekalkan Kuala Kubu Baharu dengan majoriti lebih 3,000 undi.

Ia satu-satunya keyakinan kukuh yang diperlihatkan. Keyakinan seperti ini tidak dizahirkan oleh pemimpin PH.

Semasa PRK Pelangai, Pahang, pemimpin UMNO sudah agak selesa akan mempertahankan kerusi tersebut tiga hari sebelum hari pengundian.

Keyakinan yang sama dapat dilihat dalam kalangan pemimpin UMNO di Kuala Kubu Baharu. Bukannya di wajah parti-parti lain yang berada dalam kerajaan perpaduan.

Agak unik! UMNO mengatur aset mereka. Satu kelebihan yang dapat disaksikan apabila berada di lapangan di Kuala Kubu Baharu.

Akhirnya UMNO muncul ‘king maker’. Ahmad Zahid sekali lagi dilakarkan sebagai ‘king maker’ dalam menyelamatkan Anwar, ketua PH dan Kerajaan Perpaduan, sekali lagi.

Anwar tidak turun untuk berkempen tetapi membawa tropi kemenangan. Lebih 16 bulan lalu, Zahid menjadi penggerak kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan diterajui Anwar di sebalik pelbagai kritikan dalam parti itu dan lawannya.

Kali ini, di Kuala Kubu Baharu - destinasi bersejarah di Malaysia,  UMNO dilihat sebagai penentu dan ‘king maker’ dengan menghadiahkan satu blok undi, dalam jumlah yang besar sekali gus melebarkan jurang majoriti. UMNO menunjukkan parti itu boleh melakukan sesuatu dan mengubah arena politik negara.

Ini permulaan kepada rekod baharu PRU16.


* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

** Artikel ini adalah daripada pandangan peribadi berdasarkan bidang kerjaya penulis, dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.