Detik ini bermula dengan perjanjian rahsia antara pakatan kuasa Inggeris dan Perancis bersama beberapa pemimpin Arab yang dikenali sebagai Perjanjian Sykes-Picot, dimeterai pada 16 Mei 1916.
Melalui perjanjian ini, pemimpin Arab dijanjikan pelbagai tawaran yang menarik.
Antara tawaran tersebut adalah pemimpin Arab dijanjikan “kemerdekaan” daripada pengaruh empayar Turki Uthmaniyah yang sekian lama berkuasa di Jazirah Arab lebih daripada enam abad sejak tahun 1453.
Walhal, pakatan koloniolisme tersebut sengaja mengaburi mata pemimpin Arab dengan memanipulasi hasrat mereka tersebut demi mengukuhkan pengaruh imperialisme di Jazirah Arab, khususnya di wilayah-wilayah Uthmaniyah di Syam seperti Palestin, Syria, Jordan dan Lubnan.
Namun begitu, retorik perjanjian tersebut akhirnya terbongkar apabila pemimpin Arab mulai menyedari perjanjian di sebalik itu, dan mereka rasa dikhianati.
Lantas, mereka segera “dipujuk” melalui satu deklarasi yang dikenali sebagai Deklarasi Anglo-Perancis, yang diumumkan pada 7 November 1918.
Dalam deklarasi ini, jelas terdapat tawaran jaminan kepada pemimpin Arab bagi membantu mereka dalam membina ekonomi negara mereka sendiri, sebagaimana yang termaktub dalam pernyataan deklarasi tersebut yang menyatakan “…to facilitate the economic development of the country…”.
Tambahan pula, senario kestabilan dan ekonomi dunia yang terjejas teruk akibat Perang Dunia Pertama telah mendorong pemimpin Arab untuk menerima tawaran berkenaan.
Walau bagaimanapun, keputusan ini akhirnya membawa implikasi besar dalam pelbagai aspek fundamental, termasuk kehilangan kedaulatan dan mandat kuasa mereka sebagai bangsa Arab.
Secara tidak langsung, tawaran tersebut turut membuka ruang bagi kuasa-kuasa asing meluaskan pengaruh imperialisme di Jazirah Arab.
Selain itu, deklarasi tersebut juga mendorong kepada perubahan demografi bangsa Arab itu sendiri, dan salah satunya melalui peningkatan kemasukan pendatang haram Yahudi ke wilayah Palestin susulan Deklarasi Balfour pada 2 November 1917.
Di samping itu, isu nasionalisme dan revolusianisme dalam kalangan pemimpin Arab turut mendorong kepada krisis kesatuan dan keamanan dunia Arab keseluruhan.
Sehubungan itu, bersempena 106 tahun Deklarasi Anglo-Perancis, Global Peace Mission (GPM) Malaysia menyeru seluruh umat Islam agar mengambil ibrah daripada sejarah yang berlaku.
Hal yang demikian boleh dicapai dengan mengembalikan kesatuan ikatan ukhuwah Islamiyah demi maslahat umat sejagat.
Menginsafi kepentingan perpaduan ini adalah satu anjakan diri yang penting untuk mengatasi cabaran semasa dan memperkukuh kedudukan umat di peringkat global.
“Misi Kemanusiaan Merentasi Sempadan”
* Penulis ialah Penyelidik di Jabatan Penyelidikan dan Advokasi, GPM
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI