PHNOM PENH: Kebakaran hutan secara sporadik di Asia Tenggara memberi isyarat tentang jerebu berbahaya, yang boleh membawa kesan besar terhadap ekonomi dan masyarakat, mengingatkan kepada episod jerebu pada 1997.

Kebakaran hutan yang berlaku di Thailand dan Kemboja sejak beberapa minggu kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan terhadap pencemaran udara yang boleh memburukkan lagi keadaan apabila musim panas melanda rantau itu dalam beberapa bulan akan datang.

Ia biasanya berlaku antara Disember hingga April apabila petani mengamalkan kaedah tebas dan bakar untuk menyediakan tanah bagi musim tanaman baharu.

Thailand, yang berdepan dengan kebakaran hutan sejak Januari sehingga meningkatkan tahap PM2.5 (zarah halus berbahaya) dalam udara, telah menandatangani perjanjian dengan anggota ASEAN untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Profesor Madya Dr Helena Varkkey dari Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya memberitahu Bernama bahawa Thailand adalah antara negara ASEAN yang paling proaktif di peringkat serantau dan nasional.

"Terdapat kesedaran tinggi tentang bahaya PM2.5 dalam kalangan masyarakat umum di Thailand.

"Ini terbukti apabila Thailand memainkan peranan utama dalam usaha tambahan di peringkat ASEAN.

"Negara ASEAN lain sepatutnya mencontohi pihak berkuasa dan masyarakat Thailand dalam menangani jerebu rentas sempadan," kata Helena.

Menurut Pusat Meteorologi Khas ASEAN, keadaan kering diperhatikan di kebanyakan kawasan di Mekong pada pagi Sabtu (22 Feb).

Imej satelit menunjukkan titik panas bertaburan di utara Kemboja dan bahagian tengah Myanmar, serta titik panas terpencil di Mekong.

"Asap jerebu ringan hingga sederhana dikesan di bahagian tengah Myanmar dan Thailand.

"Beberapa stesen kualiti udara di bahagian tengah Mekong melaporkan tahap tidak sihat," menurut pusat meteorologi yang berpangkalan di Singapura itu.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baharu bagi rantau berkenaan.

Ketika ekonomi ASEAN bergelut dengan krisis kewangan pada 1997, jerebu menyelubungi Asia Tenggara.

Kebakaran hutan besar-besaran di Indonesia mencetuskan pencemaran yang menyebabkan kerugian ekonomi dianggarkan mencecah RM40 bilion (US$9 bilion).

ASEAN segera merangka Pelan Tindakan Jerebu Serantau pada 1997 dan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ditandatangani pada 2002.

Namun, pencemaran udara rentas sempadan masih berterusan dan kejadian paling buruk seterusnya berlaku pada 2015.

Masalah ini semakin meruncing akibat perubahan iklim dan pencemaran bandar di kawasan metropolitan yang berkembang pesat.

Pakar menyeru kerjasama lebih erat antara negara, sektor korporat dan komuniti untuk menangani ancaman terbabit.

"Terdapat perbezaan ketara dari segi kapasiti antara negara ASEAN di Indochina dan negara ASEAN lain dalam pemantauan pencemaran udara dan meteorologi.

"Lebih banyak usaha diperlukan untuk membangunkan kapasiti dan perkongsian pengetahuan dari negara seperti Thailand, Singapura dan Malaysia kepada negara-negara ini," kata Helena.

Pencemaran udara rentas sempadan menjadi cabaran utama pembuat dasar Asia Tenggara sejak 1990-an apabila fenomena jerebu bertukar menjadi krisis alam sekitar.

Ancaman kepada kesihatan, kerugian ekonomi, risiko terhadap keselamatan makanan, tekanan terhadap sistem kesihatan, serta penutupan industri dan sekolah adalah antara kesan buruk jerebu.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan selama bertahun-tahun, masalah alam sekitar itu masih belum dapat dibendung sepenuhnya.

"Masih terdapat kekurangan kepercayaan antara negara yang terjejas, menyebabkan sikap saling menuding jari dan keengganan untuk berkongsi maklumat secara terbuka.

"Masalah ini berpunca daripada kerumitan sosio-ekonomi kerana pelaburan rentas sempadan dalam industri yang menyumbang kepada jerebu menjadikan punca sebenar sukar dikenal pasti.

"Perbincangan di peringkat ASEAN berlangsung dengan sangat perlahan dan berhati-hati bagi mengambil kira sensitiviti ini," katanya.

Walaupun negara-negara ASEAN menunjukkan usaha kolektif dalam menangani cabaran ini, langkah yang lebih tegas dan bersepadu diperlukan bagi memastikan visi "ASEAN Bebas Jerebu" dapat direalisasikan.

-- BERNAMA