KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) secara proaktif melaksanakan pemeriksaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan lain-lain perundangan di bawah kawal selia KPDN.


Ringkasan AI
  • KPDN memastikan pematuhan harga dan alat timbang di semua peringkat bekalan. 2) KPDN mengelakkan pencatutan dengan mengeluarkan Notis Bertulis kepada peniaga. 3) KPDN memastikan bekalan mencukupi dan harga berpatutan sempena Ramadan dan Hari Raya.


Menurut Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, usaha ini bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk mencatut atau membuat kenaikan harga yang tidak selaras dengan perundangan pencatutan.

Ia dilakukan melalui beberapa operasi yang dilaksanakan KPDN iaitu sebelum, semasa, dan selepas musim perayaan.

‘’Pemeriksaan turut dijalankan bagi memastikan pematuhan penandaan harga barang dan penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan di peringkat pengimport, pemborong, dan peruncit.

‘’Penandaan tanda harga yang jelas hendaklah dipatuhi dan penggunaan alat timbang untuk tujuan perdagangan hendaklah masih dalam tempoh sah penentusahan selari dengan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972,’’ ujarnya.

Fuziah berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas mengadakan sesi turun padang bersama Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sarawak bagi meninjau dan melakukan pemeriksaan di premis pengimport dan pasar raya di sekitar Kuching, Sarawak.

Ia merupakan antara usaha dalam memastikan keberadaan bekalan barang keperluan pada harga munasabah sempena kedatangan bulan Ramadan dan perayaan Hari Raya Puasa.

"Pemeriksaan dilaksanakan di semua peringkat rantaian bekalan meliputi pengimport, pemborong dan peruncit melibatkan barang keperluan bulan Ramadan seperti bawang besar kuning, bawang besar merah import, bawang putih (China), halia tua import, tomato, dan ubi kentang import (China).

‘’Sebanyak dua (2) Notis Bertulis (NB) diserahkan kepada pengimport dan pemborong serta peruncit bagi mendapatkan maklumat harga barangan, kos, dan harga jualan semasa melibatkan tiga (3) SKU iaitu bawang kuning (Holland) China, bawang besar merah India, bawang putih dalam memastikan tiada mana-mana pihak yang cuba mengambil keuntungan yang tidak munasabah,’’ katanya lagi.

Selain itu, katanya, KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang boleh mengganggu bekalan barangan keperluan dan kesejahteraan rakyat.

Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat dalam sebarang aktiviti penyelewengan.