SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan penjawat awam wanita yang bekerja di bawah pentadbiran kerajaan negeri pulang seawal jam 2 petang pada setiap Jumaat, Ramadan ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kebenaran itu hanya membabitkan hampir 2,500 pekerja wanita, tidak termasuk yang berada di bawah Persekutuan.

"Waktu kerja anjal akan dilaksanakan untuk wanita sahaja, pada setiap hari Jumaat mereka akan mula bekerja seawal jam 7.30 pagi dan dibenarkan pulang pada jam 2 petang. Mereka tiada rehat dan tiada sembahyang Jumaat, jadi mereka boleh terus balik.

"Manakala yang lelaki sambung balik (kerja), lepas sembahyang Jumaat masuk balik kerja seperti biasa, tak apa kerja di bulan Ramadan itu adalah pahala," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu yang turut dihadiri Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Negeri Sembilan pada 16 Mac depan.

"Majlis itu dijangka diadakan di Tampin membabitkan lebih 1,000 hingga 1,500 penduduk sekitar," katanya. - Sinar Harian