Ringkasan AI
- Menghantar anak ke pusat tuisyen adalah pilihan peribadi ibu bapa, dan kurikulum sekolah sudah mencukupi mengikut piawaian kebangsaan.
- Kementerian Pendidikan tidak mempunyai masalah jika ibu bapa ingin memberi sokongan tambahan kepada anak-anak melalui tuisyen.
- Tiada perubahan dalam jadual persekolahan semasa bulan Ramadan, dan semua pihak dinasihatkan untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan, kurikulum persekolahan yang disediakan di sekolah adalah mencukupi.
“Mengenai ibu-bapa menghantar anak ke pusat tuisyen, itu adalah pilihan peribadi.
“Kurikulum pembelajaran yang disediakan di sekolah adalah cukup mengikut piawaian kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan sempena Hari Pertama Sekolah Kalendar Akademik Sesi 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan Taman Pelangi di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya ibu-bapa ingin memberi sokongan tambahan kepada anak-anak.
“Sekiranya ibu-bapa ingin beri sokongan tambahan, itu terpulang kepada mereka,” katanya.
Mengulas mengenai sesi persekolahan pada bulan Ramadan, Fadhlina berkata, setakat ini tiada perubahan dalam jadual persekolahan seperti yang ditetapkan dalam garis panduan sedia ada.
“Pelajar akan meneruskan sesi persekolahan seperti biasa.
“Semua pihak dinasihatkan untuk merujuk dan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan untuk bulan Ramadan,” katanya.
