Sebaliknya, kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, terdapat pelbagai faktor yang perlu diambil kira bagi memastikan dana persaraan mencukupi.
Berikut lima faktor utama yang memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan kewangan selepas bersara:
1️⃣ Pendapatan dan kenaikan gaji
Gaji merupakan asas kepada simpanan persaraan kerana ia menentukan jumlah caruman ke dalam KWSP.
Kerajaan mengambil langkah proaktif dengan dasar gaji minimum yang kini dinaikkan kepada RM1,700 serta pelaksanaan gaji progresif yang dijangka diperluaskan pada masa depan.
2️⃣ Pendidikan dan kemahiran pekerja
Tahap akademik dan kemahiran seseorang pekerja mempengaruhi peluang mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi.
Pelaburan dalam pendidikan dan latihan kemahiran akan membantu meningkatkan daya saing tenaga kerja serta memperbaiki taraf pendapatan mereka.
3️⃣ Jenis pekerjaan dan sektor industri
Sektor pekerjaan juga memainkan peranan besar dalam menentukan kestabilan pendapatan. Pekerjaan dalam industri berteknologi tinggi dan berkemahiran tinggi cenderung menawarkan gaji lebih lumayan dan faedah lebih baik, sekaligus meningkatkan potensi simpanan persaraan.
4️⃣ Literasi kewangan dan tabiat menyimpan
Memahami cara mengurus kewangan dengan baik adalah kunci kepada simpanan yang mencukupi. Amalan menyimpan secara konsisten dan bijak mengurus perbelanjaan akan membantu pekerja membina dana persaraan yang lebih kukuh.
5️⃣ Polisi kerajaan dan intervensi ekonomi
Langkah-langkah seperti dasar gaji minimum, gaji progresif, dan insentif kewangan lain yang diperkenalkan oleh kerajaan boleh membantu meningkatkan kadar simpanan persaraan rakyat.
Polisi yang menyokong peningkatan pendapatan dan kestabilan ekonomi amat penting dalam menjamin masa depan pekerja.
Kesediaan untuk bersara bukan hanya bergantung kepada caruman KWSP semata-mata, tetapi melibatkan pelbagai faktor termasuk gaji, kemahiran, tabiat menyimpan dan polisi kerajaan.
Dengan pemahaman menyeluruh serta perancangan kewangan yang baik, pekerja boleh memastikan mereka mempunyai dana mencukupi untuk menjalani kehidupan selesa selepas bersara.
Beliau berkongsi pandangan tersebut ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Isnin.
