GEORGE TOWN: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berhubung pelaksanaan gaji minimum supaya dasar itu boleh ditambah baik dari semasa ke semasa, kata Menterinya Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata sesi itu juga bagi memperhalusi pelaksanaan kadar baharu gaji minimum termasuk meneliti pelaksanaannya berdasarkan ekonomi sesebuah negeri dengan KESUMA terbuka menerima apa sahaja pandangan melalui rundingan terutama dengan pihak majikan dan pekerja.

"Saya telah arahkan kajian seterusnya dibuat bagi mendapatkan maklum balas semua pihak termasuk membuat kajian kesesuaian pelaksanaan kadar gaji minimum yang berbeza berdasarkan geografi dan juga keadaan ekonomi sesuatu kawasan.

"Itu semua akan dipertimbangkan dalam kajian seterusnya untuk penambahbaikan," katanya yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP negeri di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di sini pada Ahad.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tanjong Lim Hui Ying, veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang dan barisan kepimpinan DAP Pulau Pinang.

Sim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai empat pertimbangan utama Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum baharu yang lebih seimbang termasuk meminta kadar itu tidak dijadikan penanda aras gaji permulaan dalam industri selain meminta kadar gaji minimum RM1,700 dilaksanakan secara berbeza mengikut negeri dan industri.

Mengulas lanjut, Sim berkata keputusan kenaikan kadar gaji minimum itu telah dibincangkan secara menyeluruh dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) yang dianggotai wakil kerajaan, majikan dan pekerja dengan kata sepakat telah dicapai untuk melaksanakan perkara itu.

"Kalau kita lihat kenyataan-kenyataan media pelbagai pihak, sudah tentu ada yang kata terlalu sikit dan ada pula yang kata terlalu banyak, tetapi kita harus mengimbangkan kepentingan khususnya untuk pekerja kita.

"Namun berdasarkan kenyataan contohnya daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), FMM dan juga dewan perniagaan, rata-ratanya bersetuju, jadi saya rasa ini satu petanda yang baik dengan pihak majikan juga mengalu-alukan pelaksanaan gaji minimum berkenaan," katanya.

Ditanya cadangan FMM supaya kenaikan itu dilaksanakan berperingkat bagi mengurangkan tekanan terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Sim berkata walaupun telah dkuatkuasakan namun majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja diberikan tempoh hingga Ogos dan kerajaan komited menyeimbangkan kepentingan pekerja dan majikan bagi memastikan ia tidak membebankan.

"Kementerian telah mengadakan pelbagai sesi libat urus, termasuk secara dalam talian bagi mendapatkan maklum balas semua pihak berkepentingan dan kami bukan hanya mengadakan sesi libat urus untuk gaji minimum, tetapi juga bagi isu lain seperti pekerjaan dalam sektor gig," katanya.

Seramai 4.37 juta pekerja menerima gaji minimum RM1,700 sebulan, berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa secara rasmi 1 Feb.

-- BERNAMA