Anwar yang juga Perdana Menteri menyedari banyak masalah yang dihadapi termasuk pembangunan, kantin dan tandas sekolah yang memerlukan perhatian segera manakala perbelanjaan untuk memperbaiki tandas sekolah sahaja telah mencecah RM1 bilion.
"Antara hal awal yang saya bangkitkan sebaik mengambil alih jabatan ini ialah memantau kedudukan sekolah.
“Banyak masalah sekolah, pembangunannya, kantin, tapi saya mula dengan tandas kerana itu pun dah cecah RM1 bilion. Saya kira selesai, bukan selesai semuanya.
"Malah ada sekolah di sekitar Kuala Lumpur, kita harus perbaiki jadi saya rasa caranya bagaimana. Nak harapkan Jabatan Kerajaan atau Kementerian Pendidikan sahaja tak terupaya, seorang pegawai pendidikan daerah yang jelajah, 50 sekolah menengah, 60 sekolah rendah, sekolah agama, sekolah Cina, sekolah Tamil. Jadi kita anjurkan dengan perkenalkan program Sekolah Angkat tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Anwar juga yakin dengan usaha untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan pelajar.
"Saya ada jawatankuasa, pemantauan dan rakan yang akan memberi laporan dan kita akan bantu sedaya upaya. Apakah contoh terbaik itu selesai? Saya rasa belum. Tetapi saya rasa boleh," kata Perdana Menteri lagi.
