KLANG: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berjaya mengurangkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) atau hutang lapuk kepada RM120 juta tahun lepas berbanding RM380 juta sebelumnya.

Pengerusinya Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata sepanjang tahun lepas, pihaknya telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM1.1 bilion kepada usahawan yang layak dan berjaya membuat lebihan kutipan bayaran balik melibatkan pinjaman terdahulu.

"Bagi tahun lepas, TEKUN Nasional dapat semula apa yang telah dipinjamkan, dan data terkini menunjukkan lebihan bayaran yang diterima menjadikan hutang lapuk mengecil kepada RM260 juta.

"Oleh itu, TEKUN Nasional berjaya menurunkan kadar NPL daripada 12.6 peratus kepada 9.8 peratus," katanya kepada Bernama selepas majlis perjumpaan usahawan dan berbuka puasa di Taman Sungai Pinang, Klang, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata penurunan NPL itu menunjukkan program pendidikan kewangan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya membantu usahawan mengurus kewangan dan merancang perniagaan dengan lebih baik, seterusnya membantu mereka melunaskan pinjaman terdahulu.

"Turut diadakan ialah kursus, seminar asas keusahawanan, pemantauan berkala, dan opsyen penstrukturan semula pinjaman kepada usahawan yang menghadapi masalah kewangan, termasuk pelan pembayaran yang lebih fleksibel," katanya.

Pada majlis itu, TEKUN Nasional menerima 27 permohonan pinjaman baharu daripada usahawan setempat yang merangkumi pelbagai kategori menerusi kaunter khas yang dibuka bermula pukul 4 petang.

Majlis tersebut turut dihadiri Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat (YBR) Faizah Ariffin, yang kemudiannya menyerahkan beg sekolah kepada 150 kanak-kanak sekitar Kapar.

-- BERNAMA