Kerajaan telah lama memberi tumpuan kepada pembentukan kelas pertengahan yang kukuh kerana peranannya yang penting dalam memacu pembangunan ekonomi.

Kelas pertengahan yang kuat bukan sahaja mampu mengalihkan permintaan agregat daripada keperluan asas kepada barangan dan perkhidmatan berkualiti tinggi, tetapi juga menggalakkan keusahawanan, inovasi, dan pengurangan kemiskinan. Ini seterusnya mewujudkan asas kukuh untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Dari sudut kesejahteraan kolektif, kelas pertengahan meningkatkan persepsi mobiliti sosial, memberikan harapan kepada golongan miskin untuk memperbaiki taraf hidup mereka.

Namun, negara membangun, termasuk Malaysia, menghadapi cabaran menggubal dasar untuk membina dan memupuk kelas pertengahan sambil membasmi kemiskinan mutlak.

Di Malaysia, dasar untuk menyokong golongan miskin sering dirangka di peringkat tempatan bagi menyesuaikan keperluan setempat, tetapi pengagihan dana untuk inisiatif ini memerlukan anggaran kasar dan pelaksanaan di peringkat nasional.

Oleh itu, klasifikasi isi rumah yang tepat ke dalam kategori miskin atau kelas pertengahan adalah penting untuk perancangan kerajaan dan pengagihan sumber yang lebih berkesan.

Kertas kerja terbaru KRI yang bertajuk “Searching for the ‘poor’ and ‘middle class’ in Malaysia” merupakan kemas kini kepada model Expenditure-Space yang telah kami terbitkan pada tahun 2019.

Model ini dibangunkan berdasarkan kajian terdahulu oleh Hausmann dan Klinger (2006), Hidalgo et al. (2007), serta Hidalgo dan Hausmann (2009).

Model ini menghasilkan pengelasan baru isi rumah berdasarkan corak perbelanjaan sebenar, yang mendedahkan struktur asas perbelanjaan isi rumah—daripada keperluan asas kepada barangan dan perkhidmatan kompleks.

Apabila diaplikasikan di Malaysia, model ini menunjukkan penyimpangan ketara daripada klasifikasi Bottom 40 (B40), Middle 40 (M40), dan Top 20 (T20), serta menawarkan perspektif baharu tentang stratifikasi ekonomi.

Analisis kami menunjukkan bahawa pengelasan semasa tidak mencerminkan realiti stratifikasi ekonomi isi rumah di Malaysia.

Penemuan ini menimbulkan persoalan penting mengenai ketepatan klasifikasi B40, M40, dan T20 yang digunakan oleh kerajaan Malaysia. Selama hampir 15 tahun, dari Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), Malaysia telah menggunakan klasifikasi ini sebagai asas dasar ekonomi.

Namun, kebanyakan dasar menyamakan B40 dengan isi rumah miskin dan M40 dengan kelas pertengahan atau isi rumah ‘bercita-cita tinggi/kelas aspirasi’.

Kertas kerja ini mendapati bahawa klasifikasi tersebut mungkin tidak lagi mencerminkan realiti kerana kumpulan isi rumah dalam kategori ini tidak memiliki corak perbelanjaan yang seragam.

Corak perbelanjaan golongan antara B20 dan T30, yang boleh disebut sebagai M50, kelihatan agak
seiras, dengan isi rumah dalam kumpulan ini masih menghadapi kompromi antara memenuhi keperluan asas dan membeli produk yang lebih beraspirasi.

Walaupun sesetengah isi rumah mampu menikmati sedikit perbelanjaan tambahan, seperti makan di luar atau menghantar anak ke kelas tambahan, mereka masih mengalami kompromi dalam kesejahteraan dan taraf hidup.

Golongan M50 ini bukanlah kelas pertengahan sebenar dan masih terdedah kepada risiko ekonomi.

Oleh itu, lebih tepat untuk menyatakan bahawa hanya 30% teratas daripada jumlah isi rumah
tergolong dalam Kelas Pertengahan atau kelas aspirasi.

Penemuan ini mencabar ketepatan pengelasan semasa dan mencadangkan pembahagian berikut:

• 20% Terbawah (B20): Isi rumah yang tertumpu kepada memenuhi keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, dan pakaian.

• 50% Pertengahan (M50): Menghadapi kompromi antara keperluan asas dan barangan aspirasi, menandakan kerentanan ekonomi.

• 30% Teratas (T30): Isi rumah yang menunjukkan corak perbelanjaan aspirasi yang mencerminkan kelas pertengahan, tetapi tidak semestinya “kaya” mengikut standard global.

Pengelasan ini, walaupun berguna, perlu difahami sebagai ukuran perbandingan relatif dalam konteks sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, golongan terkaya di negara miskin mungkin dianggap masih miskin jika dibandingkan dengan negara kaya. Dengan memahami had pengelasan ini, ia boleh menjadi kaedah yang berguna untuk merangka dasar yang lebih sesuai bagi menangani isu yang dihadapi kumpulan tertentu.



Kertas kerja ini disediakan oleh Gregory Ho, Penyelidik Bersekutu, dan Suraya Ismail, Pengarah
Penyelidikan di KRI.

Kertas kerja ini boleh dimuat turun di www.KRInstitute.org