JEDDAH: Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan larangan penggunaan kamera untuk merekod jemaah yang menunaikan solat tarawih, termasuk siaran langsung sepanjang ibadah tersebut dijalankan.

Larangan ini diumumkan oleh Kementerian Urusan Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi baru-baru ini.

Menurut laporan yang dipetik daripada Middle East Monitor, larangan ini bukan sahaja terpakai untuk solat tarawih sepanjang bulan Ramadan, tetapi juga untuk semua solat berjemaah di masjid.

Kementerian menyatakan bahawa larangan ini bertujuan untuk memastikan kesucian masjid, mencipta suasana yang kondusif bagi menjalani ibadah, serta menjamin keselesaan jemaah yang hadir.

"Kementerian juga menekankan pentingnya imam dan khatib untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan membimbing jemaah agar mematuhi etika yang sesuai di dalam masjid," petik laporan tersebut.

Selain itu, Kementerian turut melarang pengumpulan derma untuk jamuan berbuka puasa di dalam masjid. Umat Islam yang ingin berkongsi berbuka puasa diminta untuk melaksanakannya di tempat yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan.

Ramadan di Arab Saudi dijangka bermula pada Sabtu, 1 Mac 2025, menurut perhitungan astronomi yang disampaikan oleh Presiden Astronomi Jeddah (JAS), Majed Abu Zahwa.

Sebanyak tujuh imam akan memimpin solat tarawih di Masjidil Haram sepanjang bulan Ramadan ini, termasuk Syekih Abdurrahman as-Sudais. - Sinar Harian memetik agensi