KEZALIMAN terhadap orang Arab di bumi Palestin sebenarnya telah bermula dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah.

Semasa Perang Dunia Pertama pada 1916, orang-orang Arab telah memberontak menentang Khilafah Uthmaniyyah setelah dijanjikan kebebasan oleh British.

Setelah Kerajaan Uthmaniyyah tewas, tentera British telah menghalau tentera Uthmaniyyah keluar dari wilayah Asia Barat.

Pada mulanya kerajaan British telah berjanji dengan pemimpin Arab iaitu Sherif Hussein bahawa ia akan menghormati kemerdekaan Arab sekiranya berlaku pemberontakan terhadap Khilafah Uthmaniyyah.

Namun, perjanjian tersebut adalah muslihat dan pengkhianatan semata-mata kerana di belakang tabir, pihak British telah bersetuju dengan pihak Perancis untuk membahagikan wilayah Asia Barat di antara mereka sahaja melalui Perjanjian Sykes–Picot.

Ini jelas suatu pengkhianatan dan kezaliman British terhadap pihak Arab.

Bahkan niat dan perancangan jahat pihak British jelas terbukti melalui Deklarasi Balfour pada 1917, di mana Britain menjanjikan sokongannya untuk penubuhan sebuah negara khas untuk orang Yahudi di bumi Palestin.

British seterusnya mengisytiharkan kuasa ke atas kawasan tersebut melalui polisi ‘Palestin Mandatori’ pada 1920, yang kemudiannya disahkan oleh Liga Bangsa-Bangsa pada 1922.

Susulan daripada tindakan British itu, wilayah Palestin telah menyaksikan kemasukan imigran Yahudi dari Eropah dengan sangat ramai.

Mereka ini telah diyakinkan oleh gerakan Zionis yang diasaskan oleh seorang pemikir Yahudi sekular bernama Theodore Herzl bahawa orang Yahudi tidak akan selamat daripada penindasan terhadap mereka selagi mereka tinggal di Eropah.

Solusi untuk mereka adalah sebuah negara khas untuk orang Yahudi sahaja dan mereka telah memilih untuk menjadikan wilayah Palestin sebagai lokasi negara baru mereka.

Orang Arab yang merupakan penduduk asal wilayah tersebut menjadi marah apabila menyedari bahawa British sedang membantu untuk merampas tanah mereka dan memberikannya kepada golongan Yahudi imigran.
Di antara pemimpin mereka yang menentang British ialah Sheikh Izzuddin Al Qassam. Pada 1930-an, beliau membentuk kumpulan pejuang tempatan yang dinamakan Tangan Hitam dan melancarkan serangan terhadap British dan Yahudi.

Beliau akhirnya dibunuh dalam pemburuan oleh pihak berkuasa British pada 1935.

Susulan daripada pembunuhan itu, pihak Arab telah bangkit dan memberontak menentang penjajah British di antara 1936 –1939.

Namun, pemberontakan mereka telah dikalahkan oleh penjajah British yang mempunyai senjata dan kelengkapan yang lebih kuat.

Pada masa sama juga, golongan imigran Yahudi telah menjadi bertambah kuat.

Jumlah penduduk Yahudi telah berkembang daripada hanya 59,000 orang (atau 8 peratus daripada jumlah penduduk Palestin) pada 1917 menjadi 500,000 orang pada 1947 akibat daripada kemasukan imigran Yahudi yang ramai dari Eropah.

Akan tetapi, mereka masih minoriti di bumi Palestin kerana jumlah penduduk Arab juga telah berkembang daripada 738,000 pada 1917 menjadi 1.2 juta pada 1947.

Dari segi pemilikan tanah oleh orang Yahudi pula, ia telah berkembang daripada 3 peratus pada 1917 menjadi 6 peratus pada 1947.

Kebanyakan tanah diperoleh melalui pembelian daripada pemilik yang tidak tinggal di Palestin, namun telah diberikan geran oleh pemerintah Uthmaniyyah sebelum itu.

Akibatnya, ribuan orang Arab Palestin yang sememangnya tinggal dan telah mengusahakan tanah tersebut selama ratusan tahun sebelum itu telah dipaksa keluar oleh orang Yahudi yang sering kali dibantu oleh tentera British.

Pada penghujung fasa Mandat British di Palestin, golongan Yahudi telah menyerang dan membunuh ramai pegawai tentera British kerana tidak berpuas hati dengan polisi baharu British yang menyekat kemasukan Yahudi dari Eropah.

Ramai pegawai British dan juga askar mereka telah dibunuh oleh pasukan pengganas ketenteraan Yahudi termasuk Irgun dan Haganah.

Akibatnya, British telah membuat keputusan untuk keluar dari bumi Palestin dan menyerahkan isu Palestin kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada November 1947, PBB telah meluluskan resolusi 181 dan membahagikan wilayah Palestin kepada dua negara iaitu sebahagian dimiliki oleh orang Arab dan sebahagian lagi dimiliki oleh orang Yahudi.

Namun, orang Yahudi telah diberi pemilikan sebanyak 55 peratus daripada tanah Palestin, manakala orang Arab hanya mendapat 44 peratus dan 1 peratus lagi adalah Baitul Maqdis yang akan ditadbir oleh pihak antarabangsa.

Sudah semestinya resolusi ini ditolak oleh orang Arab kerana ia tidak adil kepada mereka.

Walaupun mereka merupakan penduduk asal wilayah tersebut dan merupakan hampir 70 peratus daripada penduduk Palestin, namun mereka telah ditawarkan kurang daripada separuh bumi Palestin sedangkan pihak pendatang Yahudi yang merupakan minoriti mendapat lebih daripada separuh.

Susulan daripada resolusi yang berat sebelah itu maka berlakulah Perang Palestin bermula dari November 1947 dan berakhir pada bulan Mei 1948 di antara tentera Yahudi Zionis dan tentera Arab.

Semasa peperangan itu, 530 perkampungan dan bandar Arab telah dimusnahkan.

Seramai 15,000 rakyat Arab telah dibunuh dengan kejam dalam 70 kejadian pembunuhan beramai-ramai oleh Yahudi Zionis terhadap penduduk Arab Palestin.

Kira-kira separuh daripada penduduk Palestin yang kebanyakannya orang Arab atau sekitar 750,000 orang pula telah diusir daripada rumah mereka atau terpaksa melarikan diri.

Apabila Mandat British terhadap Palestin berakhir pada 14 Mei 1948, dan dengan pengisytiharan penubuhan negara haram Israel, negara-negara Arab di sekeliling wilayah itu iaitu Mesir, Transjordan, Iraq dan Syria cuba mengawal kawasan yang sudah tidak lagi dikenali sebagai Mandatori Palestin dengan menyerang tentera Israel dan beberapa penempatan Yahudi.

Konflik tersebut semakin memuncak dan menjadi Perang Arab-Israel 1948.

Malangnya, tentera Zionis Yahudi yang banyak mendapat bantuan kewangan daripada golongan yang simpati kepada projek Zionis di Palestin serta mendapat bekalan senjata yang disalurkan melalui Czechoslovakia, akhirnya telah berjaya mengalahkan tentera Arab.

Akibat kekalahan pihak Arab Palestin, wilayah Palestin Mandatori telah dibahagikan kepada negara Israel, Kerajaan Hashemite Jordan (yang menggabungkan wilayah di Tebing Barat Sungai Jordan), dan Jalur Gaza di bawah Kerajaan Mesir.

Dengan kemenangan tersebut, pihak Zionis Yahudi berjaya merampas 80 peratus daripada bumi Palestin berbanding sebelum itu di mana mereka hanya mengawal 6 peratus tanah milik Palestin.

Susulan daripada kejayaan itu, iaitu pada bulan Julai 1948, mereka telah mengisytiharkan negara baharu yang dinamakan Israel.

Bagi penduduk Arab, ini adalah satu malapetaka yang sangat besar dan dipanggil di dalam bahasa Arab sebagai ‘Nakba.’

Pada 1948 juga, PBB telah meluluskan resolusi 194 yang menyatakan bahawa rakyat Palestin yang menjadi pelarian berhak untuk pulang ke kampung halaman mereka.

Ini sesuai dengan undang-undang antarabangsa. Namun, Israel tidak mengendahkan resolusi tersebut sehingga hari ini kerana ia bertentangan dengan objektif penubuhan negara haram berkenaan yang khusus untuk orang-orang Yahudi sahaja.

Oleh itu, pengusiran orang-orang Arab Palestin dari tanah air mereka adalah perancangan utama Zionis Israel dan telah mengakibatkan orang Arab Palestin kekal menjadi pelarian sehingga hari ini.

Walaupun telah berjaya mengawal 80 peratus daripada bumi Palestin, pihak Zionis Israel masih tidak berpuas hati kerana tidak dapat menguasai sepenuhnya.

Oleh itu pada 1967, mereka telah menyerang wilayah Arab sekali lagi dan berjaya menakluki Tebing Barat (termasuk Baitul Maqdis Timur) dan Semenanjung Gaza dan oleh yang demikian, berjaya mengawal 100 peratus daripada bumi Palestin.

Israel juga turut berjaya menakluki Semenanjung Sinai di Mesir dan Golan Heights di Syria.

Namun, pihak PBB tidak mengiktiraf kawalan mereka ke atas wilayah-wilayah ini dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan satu resolusi iaitu resolusi 242 yang diterima pakai pada 22 November 1967.

Resolusi ini menyeru “penarikan tentera Israel dari wilayah yang diduduki dalam konflik baru-baru ini.”

Ia juga turut menekankan "ketidakboleh terimaan pengambilalihan wilayah melalui peperangan dan keperluan untuk bekerja untuk keamanan yang adil dan berkekalan di Timur Tengah di mana setiap negeri di kawasan itu boleh hidup dengan selamat".

Walaupun Israel menyokong resolusi itu, namun ia tidak mematuhi atau melaksanakannya sehingga hari ini.

Sekali lagi faktor utama mengapa Israel tidak melaksanakan resolusi tersebut ialah kerana ia akan menggagalkan objektif utama projek Zionis iaitu untuk mengawal bumi Palestin sepenuhnya dan mewujudkan negara khas untuk orang Yahudi sahaja.

Akan tetapi, kawasan Tebing Barat dan Gaza mempunyai jutaan penduduk dan Israel tidak boleh mengiktiraf mereka sebagai rakyat Israel kerana ini akan menjejaskan demografi penduduk Israel.

Bahkan kemungkinan besar satu hari nanti jumlah penduduk Arab akan melebihi jumlah penduduk Yahudi dan berpotensi untuk merampas balik tanah air mereka.

Oleh itu, Israel telah menggunakan strategi ‘kependudukan yang berpanjangan’ di mana ia mengawal wilayah-wilayah itu dengan cara yang zalim terhadap warga Palestin, dengan harapan suatu hari nanti mereka akan meninggalkan kampung halaman mereka buat selama-lamanya.

Pada masa sama, kos mentadbir wilayah tersebut telah dipindahkan kepada masyarakat antarabangsa, khususnya EU dan Amerika Syarikat.

Israel juga telah membina ratusan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, walaupun ia adalah bertentangan dengan resolusi 242 undang-undang antarabangsa.

Hakikat ini telah terbukti pada 19 Julai 2024 apabila ICJ mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel di jalur Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur adalah menyalahi undang-undang.

ICJ juga mengisytiharkan bahawa ratusan penempatan yang dibina oleh Israel di kawasan-kawasan tersebut, serta langkah pengilhakan (aneksasi) dan penggunaan sumber asli adalah juga menyalahi undang-undang.

Sepanjang strategi kependudukan Zionis yang zalim itu, rakyat Palestin telah berjuang untuk membebaskan negara mereka termasuk dengan menubuhkan pasukan pejuang bersenjata Hamas.

Pada 7 Oktober 2023, Hamas telah melancarkan serangan ke atas beberapa kem tentera serta penempatan Yahudi yang berhampiran dengan Gaza.

Serangan itu berjaya mengorbankan ratusan askar Israel dan juga tentera simpanan Israel.

Mereka juga berjaya menculik 250 warga Israel untuk dijadikan tebusan demi membebaskan ribuan warga Palestin yang sedang dipenjarakan oleh Israel secara zalim, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Namun, Israel telah bertindak balas dengan sangat ganas dan zalim dengan mengebom rumah, sekolah, masjid, pejabat kerajaan dan lain-lain bangunan di Gaza.

Israel turut memastikan penduduk Gaza tidak diberi makanan dan minuman yang secukupnya.

Pada Januari 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mendapati adalah munasabah untuk menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

ICJ telah mengarahkan Israel, di antara lain menahan diri daripada melakukan operasi ketenteraan yang berpotensi melanggar Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid, menghentikan hasutan pembunuhan beramai-ramai dalam Israel dan memastikan bantuan kemanusiaan yang mencukupi untuk orang awam di Gaza.

Perintah ICJ adalah mengikat secara sah, namun Israel secara terbuka enggan mematuhinya, malah telah meneruskan serangan ketenteraan genosidnya, dan menggunakan strategi ‘kelaparan’ terhadap penduduk Gaza sebagai senjata perang.

Pada 19 Julai 2024, ICJ mengistiharkan bahawa Israel harus menamatkan kependudukan haramnya di wilayah Palestin, berhenti daripada mewujudkan penempatan baharu dan mengosongkan semua penempatan yang telah ditubuhkan.

Ia seterusnya menyimpulkan bahawa apabila rakyat Palestin kehilangan tanah dan harta benda, Israel harus membayar ganti rugi.

Susulan daripada keputusan ICJ di atas, pada 18 September 2024, Perhimpunan Agung PBB telah menyokong kuat satu resolusi menuntut Israel menamatkan "kehadirannya yang menyalahi undang-undang" di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki dalam tempoh setahun.

Undian dalam badan dunia yang mempunyai 193 ahli itu ialah 124-14, dengan 43 berkecuali.

Resolusi itu juga menggesa negara ahli PBB mengenakan sekatan ke atas pihak-pihak yang bertanggungjawab mengekalkan kehadiran Israel di wilayah itu dan menghentikan eksport senjata ke Israel jika mereka disyaki digunakan di sana.

Di samping itu, resolusi tersebut juga menyeru agar Israel membayar ganti rugi kepada rakyat Palestin atas kerosakan yang disebabkan oleh kependudukannya, menyeru negara-negara untuk mengambil langkah untuk menghalang perdagangan atau pelaburan yang mengekalkan kehadiran Israel di wilayah tersebut.

Namun, semua usaha di atas masih tidak diendahkan oleh Israel sehingga hari ini. Bahkan ia terus melakukan jenayah genosid terhadap warga Palestin di Gaza dan juga di Tebing Barat.

Di Gaza, angka warga Palestin yang dibunuh oleh Israel meningkat lebih daripada 42,000 orang, kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.

Terkini, Israel juga telah menyerang Lubnan dan mengorbankan lebih daripada 1,000 rakyat Lubnan.

Keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin semakin serius kerana warga Palestin tidak mengalah dan terus melawan Zionis Yahudi yang merampas tanah mereka dan mengeluarkan mereka dari bumi Palestin.

Mereka berjuang dengan apa sahaja kemampuan yang mereka ada termasuk dengan usaha ketenteraan.

Mereka yakin bahawa mereka adalah di pihak yang benar dan jika terkorban, mereka akan mati syahid dan akan dijamin syurga di akhirat nanti.

Semakin ramai daripada kalangan mereka yang terkorban, semakin kuat semangat juang mereka.

Ini berbeza dengan sikap Zionis Yahudi yang senang berputus asa dengan sebarang kecelakaan dalam usaha menakluk Palestin.

Ini kerana mereka sedar bahawa mereka di pihak yang salah kerana merupakan golongan imigran yang telah datang untuk merampas wilayah daripada penduduk asal Palestin dan menjajah tanah tersebut.

Oleh sebab itu, ramai daripada kalangan mereka telah membuat keputusan untuk berpindah keluar ke negara lain, termasuk ke Eropah, Amerika dan Thailand.

Tambahan pula, perbelanjaan yang ditanggung untuk menjajah bumi Palestin amat tinggi. Perang di Gaza kini telah menelan belanja sebanyak AS$ 280 juta sehari.

Perbelanjaan ini memerlukan kerajaan Israel berhutang dengan banyak daripada institusi kewangan antarabangsa.

Kerajaan Amerika Syarikat yang merupakan pembekal utama senjata kepada Israel juga terpaksa berhutang sebanyak puluhan bilion dolar Amerika untuk tujuan ini.

Akibatnya hutang kerajaan Amerika meningkat menjadi lebih daripada AS$30 trilion.

Jumlah yang besar ini telah membuat ramai rakyat mereka tidak berpuas hati dan menentang polisi kerajaan Amerika yang membantu Israel secara membuta tuli.

Tambahan pula banyak syarikat yang dilihat bersekongkol dengan Israel menghadapi tindakan pemboikotan oleh gerakan boikot antarabangsa, BDS (Boycott, Divestment and Sanctions).

Kerugian yang mereka alami membuat banyak pihak yang menyokong Israel selama ini semakin bimbang dengan keadaan kos kewangan yang terpaksa ditanggung oleh mereka.

Jika usaha boikot menjadi semakin meluas dan serius, lambat laun organisasi perniagaan akan terpaksa memutuskan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Israel.

Ini sekali gus akan melemahkan ekonomi Israel dan menggagalkan projek penjajahan bumi Palestin oleh golongan Zionis.

Sebagai rumusan, Israel telah puluhan tahun melakukan keganasan terhadap warga Palestin.

Bahkan penubuhannya juga adalah dengan cara keganasan dan melalui jenayah pembersihan etnik.

Sehingga ke saat ini Israel masih tetap melakukan jenayah terhadap warga Palestin dengan membunuh dan merampas wilayah Palestin dalam usaha menjayakan projek mewujudkan sebuah negara khas untuk orang Yahudi sahaja.

Hampir semua resolusi PBB dan keputusan ICJ tidak diendahkan oleh Israel sehingga hari ini.

Oleh itu cara yang paling berkesan bagi kita untuk membantu memastikan Israel tidak lagi berupaya menzalimi warga Palestin ialah dengan melemahkan ekonominya iaitu dengan cara memboikot negara tersebut serta organisasi perniagaan yang bersekongkol dengannya. 

Langkah ini telah terbukti berjaya menghapuskan kezaliman kerajaan aparteid di Afrika Selatan terhadap warga kulit hitam pada 1994.

Tidak ada sebab mengapa strategi ini tidak boleh berjaya sekali lagi dalam usaha kita menyekat kezaliman yang sedang berlaku di bumi Palestin sekarang ini.



* Prof Mohd Nazari Ismail ialah Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani Universiti Malaya.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.