KUALA LUMPUR: Semua wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk enam Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  yang berpaling tadah dengan menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan diberi tempoh 14 hari untuk menyatakan pendirian mereka.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sekiranya mereka gagal untuk membalas surat tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, keahlian mereka dalam parti akan terhenti serta-merta dan status sebagai wakil rakyat akan tergugur

"Kita sudah serahkan surat kepada semua MP dan ADUN Bersatu termasuk tujuh wakil rakyat terbabit, ada beberapa arahan secara bertulis diberikan melalui e-mel, kurier dan serahan tangan.

"Arahan itu antaranya mahu mereka tahu sebagai ahli parti seharusnya bertanggungjawab untuk setia dengan parti serta mendukung dasar, matlamat dan tujuan parti.

"Kita nak mereka tahu bahawa kepimpinan Bersatu tidak sokong atau menyertai kepimpinan di sebelah sana (kerajaan Madani). Itu adalah arahan spesifik kepada semua MP dan ADUN Bersatu," katanya pada sidang media, di sini pada Jumaat.

Bersatu hantar surat kepada semua Ahli Parlimen, ADUN


Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, Bersatu turut membuat ketetapan bahawa parti itu tidak menyokong mana-mana menteri besar, ketua menteri atau pun menyertai mana-mana kerajaan negeri yang tidak dipersetujui oleh pihaknya.

"Seterusnya, presiden parti secara jelas menyatakan bahawa Perikatan Nasional akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen serta memastikan tadbir urus kerajaan secara berintegriti dan bebas rasuah, selaras dengan prinsip kita iaitu prihatin, bersih dan stabil.

"Arahan juga membabitkan perlembangan negeri yang yang menghalang perbuatan lompat parti dan ia dipermain oleh Ahli Parlimen dan ADUN serta mereka bersikap selingkuh dengan menukar atau berikan sokongan kepada parti politik lawan tanpa melepaskan keanggotaan parti atau tidak lagi menjadi anggota parti politik itu," katanya.

Enam Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Madani sebelum ini ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).