KUALA LUMPUR: Pembangkang sebulat suara menolak Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Penolakan itu dibuat atas empat sebab asas yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan di mana beberapa syarat dikenakan dalam MoU dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Dakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, selain itu ia turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama di mana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.

"Ketiga, ia boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa kerana MoU itu tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas dan keadaan ini boleh membuka ruang kepada berlakunya pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ex-parte (sebelah pihak).

"Mou itu dilihat turut mengongkong kebebasan kerana mengandungi perkara-perkara yang dilihat mengekang kebebasan bersuara Ahli Parlimen sedangkan setiap Ahli Parlimen mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Sehubungan itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN berkata, pihaknya memperingatkan kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan.

"Manifesto itu berjanji menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) secara sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti dan rakyat sedang menilai apa sudah jadi dengan janji-janji tersebut," ujarnya.

Hamzah berkata, PN telah menerima dua set deraf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

Menurut beliau, MoU itu di antara Kerajaan Malaysia dan parti Perikatan Nasional serta di antara Kerajaan Malaysia dengan kesemua Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

Pada 18 Apr lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju mempertimbangkan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang disusuli dengan penyerahan deraf kepada PN, bulan lalu.

Anwar pada 9 Jul lalu dilaporkan berkata isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit diselesaikan kerana membabitkan syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.

Sewaktu pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dari Ogos 2021 hingga November 2022, kerajaan menandatangi MoU dengan Pakatan Harapan (PH) selaku pembangkang ketika itu bagi mewujudkan kestabilan politik dan menyediakan peruntukan untuk semua Ahli Parlimen.