KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas tindakan pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang begitu 'riuh' dalam membincangkan isu memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang.

Dalam masa sama, Menteri Dalam Negeri itu kesal melihat tindakan PN yang gemar membuat sensasi berbanding berunding hingga mencapai persetujuan dengan mengimbas kembali pelaksanaan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, dua tahun lalu.

Menurut beliau, senario itu cukup berbeza jika ingin menyorot semula perjalanan ketika MoU berkenaan dibuat sebelum ini di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan dengan MoU peruntukan pembangkang hari ini.

"Pertamanya pihak kerajaan kemukakan draf. PH (Pakatan Harapan) bincang dalam Majlis Presiden PH kemudian PH beri maklum balas. Pihak kerajaan teliti maklum balas PH dan kami duduk berunding mencapai titik temu.

"Proses ini ada tertibnya. Perundingan berlangsung beberapa pusingan sehinggalah kedua-dua pihak bersetuju dengan isi MoU. Kami memeterai persetujuan itu di dalam satu majlis di Parlimen dihadiri Ismail Sabri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu sebagai Ketua Pembangkang.

"MoU kali ini? Baru terima draf sudah riuh di luar. Betullah kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, kalau pilih nak bercakap dengan media tidak perlulah nak berunding," kata Saifuddin dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berpendapat, draf MoU berkaitan peruntukan pembangkang hanya dibuat oleh kerajaan tanpa membabitkan sebarang perbincangan bersama pihak PN.

Susulan itu, PN kemudian sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada Putrajaya berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN dibuat atas empat sebab fundamental terutama apabila membabitkan pengisytiharan harta.

Sehari selepas keputusan diumumkan, Timbalan Perdana Menteri Fadillah mendedahkan kandungan penuh draf MoU mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang ditolak agar ia dapat dinilai sendiri oleh orang ramai.