KOTA BHARU: Memorandum persefahaman (MoU) berkait peruntukan pembangkang berkemungkinan besar diputuskan Isnin ini.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu akan dibuat selepas ahli Parlimen PN dipanggil untuk bermesyuarat bersama Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita bincang sama ada bersetuju, tidak bersetuju atau bersetuju dengan bersyarat.

"Isnin ini akan diputuskan semasa mesyuarat, kita berharap begitulah," katanya semasa sidang akhbar selepas Program Kota Bharu Kahf Marathon di Dewan Jubli Perak di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Bharu itu enggan mendedahkan isi kandungan dokumen berkenaan kerana ia adalah rahsia antara pembangkang dan kerajaan.

"Ia masih dalam perbincangan dan kita menghormati pihak yang terlibat," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan semua ahli Parlimen pembangkang akan mengadakan satu perbincangan minggu depan mengenai draf MoU yang diterima daripada Kerajaan Perpaduan.

Takiyuddin berkata, antara isu penting dalam pertemuan yang dijangka berlangsung pada 9 September itu ialah syarat draf MoU yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Takiyuddin tidak dapat memaklumkan secara terperinci butiran syarat melalui draf yang diterima pada 6 Ogos lalu berikutan berstatus 'rahsia'. -- Sinar Harian