KUALA LUMPUR: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan Surat Arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).


Ringkasan AI
  • Sepuluh ADUN Bersatu, lima dari Perlis dan lima dari Terengganu, menyerahkan Surat Arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebagai langkah mematuhi pindaan Perlembagaan parti.
  • Surat Arahan MPT tersebut bertujuan untuk menghalang ahli parti daripada menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Pindaan Perlembagaan Bersatu yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac melibatkan perlucutan keahlian bagi ahli yang menyokong pihak bertentangan dengan parti atau musuh.


Daripada jumlah itu, lima merupakan ADUN Perlis dan selebihnya Terengganu.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi dua hantaran berbeza di laman Facebooknya pada Rabu.

“Alhamdulillah, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Terengganu yang juga Ketua Bahagian Bersatu dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menyerahkan Surat Arahan MPT yang disempurnakan kesemua lima ADUN Terengganu.

“Setiausaha BPN Perlis, Azahar Hassan juga menyerahkan Surat Arahan MPT yang ditandatangani kesemua lima ADUN Perlis daripada Bersatu,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menandatangani Surat Arahan MPT bagi mematuhi pindaan Perlembagaan parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang itu berkata, surat arahan tersebut adalah untuk menghalang mana-mana ahli daripada menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu berhubung perlucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan ADUN serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak bertentangan dengan parti atau musuh.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti. - Sinar Harian