KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rina Harun sah tidak mempertahankan jawatan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti itu bagi penggal 2024-2027.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Saiful Adli Arshad berkata, bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu ada menghantar borang pencalonan namun kemudian memutuskan untuk menarik diri.

"Bagi jawatan Ketua Srikandi, hanya ada satu percalonan iaitu daripada Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Bahagian Masjid Tanah. Saya mengesahkan Datuk Seri Rina Harun ada menghantar borang pencalonan namun telah menghantar borang penarikan diri," katanya pada sidang media Pemilihan Parti Bersatu di sini, pada Jumaat.

Rina pada pemilihan sebelum ini menang tanpa bertanding selepas tiga pencabarnya hilang kelayakan berikutan keahlian mereka digugurkan.

Sementara itu, bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin merupakan satu-satunya calon.

Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sebulat suara membuat ketetapan supaya jawatan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti Oktober ini.

Sementara Ahmad Faizal akan bertanding bagi jawatan Naib Presiden bersama lima calon lain yang disahkan layak bertanding.

Saiful Adli berkata, jawatankuasa itu menerima sejumlah 276 borang pencalonan pada hari penyerahan borang pada 21 September lalu untuk jawatan-jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu.

Daripada jumlah itu, katanya 93 calon MPT, 46 calon jawatankuasa Srikandi, 53 calon Armada, calon 39 calon Srikandi Muda dan 27 calon Sayap Bersekutu Malaysia yang layak bertanding.

"Jawatankuasa juga menerima sejumlah 8,531 borang pencalonan daripada ahli-ahli Bersatu untuk menentusahkan kelayakan dan keabsahan mengambil bahagian dalam pemilihan parti semua peringkat mengikut peruntukan Perlembagaan parti telah ditetapkan," katanya.

Sementara itu Faizal yang juga Pengerusi Pengurusan Parti Bersatu berkata, kesemua calon bertanding telah melalui proses tapisan yang dilakukan secara teliti dan cermat mengikut Perlembagaan parti serta perundangan negara.