Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi kenyataan berkata, susulan itu MPT mengarahkan beliau selaku Setiausaha Agung parti untuk membuat tindakan susulan.
Namun kenyataan itu tidak menyebut atau mendedahkan sebarang bentuk tindakan yang dimaksudkan itu.
"Pada masa sama, parti juga bersetuju untuk melantik Datuk Radzi Jidin serta Abdullah Omar Bledram sebagai Ketua Bahagian (Penaja) Putrajaya dan Ketua Bahagian (Penaja) Labuan yang baharu," katanya di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu Hamzah memberitahu, MPT juga mematuhi ketetapan Perhimpunan Agung Tahunan Khas Bersatu pada 25 November lalu yang sebulat suara memutuskan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Presiden bagi pemilihan yang akan datang.
Selain itu katanya, mesyuarat turut membincangkan banyak perkara melibatkan situasi terkini ekonomi negara, beban kos sara hidup rakyat yang tiada penyelesaian, isu penyasaran subsidi bahan api oleh kerajaan serta senario semasa politik negara yang meresahkan.
Menurutnya lagi, Bersatu juga kekal mengikut Perlembagaan pada pemilihan Oktober ini dan calon-calon yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan itu perlu membuat permohonan kepada MPT selari dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu.
Hamzah memaklumkan mesyuarat turut memutuskan tarikh-tarikh persidangan seperti berikut:
- Cawangan 20 Julai - 31 Ogos 2024
- Bahagian 12 - 26 Oktober 2024
- Perhimpunan Agung Sayap
- Bersekutu dan Srikandi Muda 28 November 2024
- Perhimpunan Agung Sayap
- Armada dan Srikandi 29 November 2024
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu dan seorang ADUN itu juga gagal menjawab surat mengenai status sokongan mereka kepada parti.
Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan ADUN Selat Klang, Abdul Rashid Asari yang menyatakan sokongan kerajaan.