Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya akan sentiasa menyokong keluarga Allahyarham dan mengenang legasinya dalam menentukan masa depan negara yang lebih baik.
“Perjuangan beliau tidak boleh dibiar begitu sahaja kerana banyak sangat jasa yang ditumpahkan untuk negara.
“Maka sebab itu kami di pihak pembangkang ingin merakam benar-benar rasa takziah dan ingin memohon kepada semua rakyat mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dan dirahmati Allah SWT.
"Beliau akan dikenang sampai bila-bila sebagai pejuang agama, bangsa dan negara,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Persiaran Bukit Tunku di sini hari ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut menambah Allahyarham Daim, 86, merupakan arkitek ekonomi negara sehingga satu ketika Malaysia terkenal sebagai ‘Asian Tiger’.
“Ini adalah semua merupakan jasa-jasa yang beliau telah lakukan untuk negara,” tambah Hamzah.
Daim menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.21 pagi di Hospital Assunta, Petaling Jaya.
Upacara penghormatan terakhir akan diadakan sehingga jam 3.30 petang ini sebelum jenazah disolatkan di Masjid Wilayah Jalan Duta pada pukul 4 petang.
Jenazah Allahyarham kemudian dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1 pada pukul 5 petang.
Allahyarham berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.
Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004.