Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri akan diiringi oleh pegawai kanan kerajaan dan wakil daripada Halal Development Corporation (HDC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), UniKL, dan PLANMalaysia.
"Timbalan Perdana Menteri dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmao.
"Beliau juga akan bertemu dengan rakan sejawatannya, Timbalan Perdana Menteri I dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Francisco Kalbuadi Lay serta Timbalan Perdana Menteri II dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Sosial dan Menteri Kemajuan Desa dan Perumahan Masyarakat Mariano Assanami Sabino," menurut kementerian itu.
Menurut Wisma Putra, perbincangan dijangka akan menyentuh status hubungan dua hala Malaysia-Timor-Leste, kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal, pembangunan luar bandar dan perancangan bandar.
Timbalan Perdana Menteri juga dijadualkan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Nasional Timor-Leste dalam pengajian tinggi; MoU antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Human Capital Development Fund Timor-Leste (FDCH) dalam Kerjasama mobiliti pelajar biasiswa Kerajaan Timor-Leste ke Malaysia; serta surat niat antara UniKL dan Institut Perniagaan Timor-Leste mengenai program pembangunan kakitangan dan mobiliti pelajar.
Wisma Putra berkata Ahmad Zahid juga akan merasmikan Sesi Meja Bulat "Menjadikan Halal sebagai Sumber Baharu Pertumbuhan Ekonomi Timor-Leste" pada 29 Ogos anjuran HDC.
Di atas jemputan kerajaan Timor-Leste, Timbalan Perdana Menteri juga akan menghadiri sambutan Ulang Tahun Referendum ke-25 (Popular Consultation Day) Timor-Leste di Parlimen Timor-Leste pada 30 Ogos.
Lawatan rasmi itu akan terus mengukuhkan lagi tahap hubungan dua hala sedia ada dan menunjukkan sokongan berterusan Malaysia terhadap aspirasi Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN.
-- BERNAMA