Mogok yang kini memasuki hari ketiga daripada lima hari yang dirancang telah menyebabkan penutupan hampir 50 cawangan di seluruh negara, dengan lebih banyak cawangan menyertai mogok sebagai tanda solidariti, menurut kenyataan Starbucks Workers United.
Mogok itu dibuat sebagai respons terhadap rundingan yang tergendala sejak Februari.
Kesatuan sekerja mendakwa Starbucks terlibat dalam "rundingan secara tidak jujur" dan gagal menawarkan cadangan ekonomi yang serius.
Tuntutan pekerja memberi tumpuan kepada gaji, faedah dan jaminan pekerjaan yang lebih baik, khususnya apabila syarikat mengaut keuntungan sambil mengurangkan waktu kerja pekerja.
Mogok bermula Jumaat lepas di Chicago, Los Angeles dan Seattle sebelum merebak ke bandar lain termasuk Columbus, Denver dan Pittsburgh.
Sementara itu, Starbucks mempertahankan tindakannya dengan mendakwa wakil kesatuan "menamatkan sesi rundingan terlalu awal".
Bagaimanapun, kesatuan sekerja itu menegaskan syarikat berkenaan tidak mengemukakan "cadangan ekonomi yang serius".
Ketika musim cuti semakin hampir, kedua-dua pihak masih bertelagah, dan kesatuan berikrar akan meneruskan usaha mereka sehingga tuntutan dipenuhi.
-- BERNAMA