KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempunyai mekanisme pemantauan berkala terhadap pokok-pokok yang dikenal pasti berisiko dan berusia khususnya di jajaran jalan raya utama ibu kota.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata penilaian pokok berisiko mempunyai tiga peringkat iaitu tahap satu melibatkan non-Arborist membuat pemeriksaan pokok melalui penilaian visual berdasarkan pengalaman kerja dan pengetahuan dalam bidang arborikultur.

"Tahap dua ialah melalui Visual Tree Assesment (VTA) yang dilaksanakan oleh Arborist bertauliah dengan menggunakan standard ditetapkan oleh International Society of Arboriculture (ISA).

"Tahap tiga pula merupakan penilaian terhadap keadaan struktur pokok menggunakan peralatan khas yang dinamakan Resistrograph dan menggunakan khidmat tree climber untuk membuat penilaian di setiap bahagian atas pokok," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata penilaian dan pemeriksaan pokok bagi tahap satu dijalankan setiap 10 bulan manakala bagi tahap dua dan tiga, ia dilaksanakan di lokasi mempunyai sejarah kegagalan pokok dan pokok berusia yang berisiko tinggi.

Menurutnya, ia termasuk bagi pokok-pokok di lokasi berfrekuensi tinggi berdasarkan penggunaan orang awam dan kawasan padat dengan harta benda berharga.

Zaliha berkata pemeriksaan VTA yang dilakukan oleh DBKL membolehkan kesihatan dan kesuburan bahagian pokok yang tidak boleh dilihat seperti bahagian akar, batang dan silara pokok diperiksa secara komprehensif dan terperinci.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai bentuk pemantauan berkala oleh DBKL terhadap pokok berisiko dan berusia di ibu kota.

Sementara itu, Zaliha berkata pihaknya juga telah mengenal pasti spesies pokok yang boleh ditanam bagi menggantikan pokok-pokok berisiko.

"Kita mengambil kira bukan sahaja jenis pokok bahkan tanah yang digunakan untuk menanam pokok, jenis tanah dan sebagainya.

"Kita dan itu akan diperincikan dalam pasukan petugas walaupun kita telah ada tetapi mengambil kira keadaan cuaca terkini yang sering berubah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Salehuddin Saidin mengenai pelan kementerian untuk menanam pokok-pokok yang lebih kecil bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan kecederaan kepada orang awam.

Berhubung langkah penubuhan Tabung Dana Amanah Kawasan Hijau pula, Zaliha berkata sumber dana tabung bertujuan meningkatkan kualiti landskap hijau negara itu tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata malah turut disumbang oleh pihak swasta dan orang awam.

"Sekiranya penubuhan tabung ini berjaya, usaha untuk kita meningkatkan kawasan hijau ataupun kawasan lapang di Kuala Lumpur dengan formula yang kita gunakan iaitu 20 meter persegi per penduduk selaras dengan aspirasi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, mungkin akan dapat kita capai dalam jangka masa lebih cepat.

"Buat masa ini DBKL sedang meneliti Seksyen 9 dan 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 iaitu Akta 61 bagi penubuhan tabung Dana Amanah Kawasan Hijau melibatkan pengurusan wang awam," katanya.

-- BERNAMA