KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu membelanjakan kira-kira RM235 juta bagi menganjurkan temasya Sukan SEA dan Para ASEAN 2027, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata jumlah itu sebahagian daripada keseluruhan anggaran kos RM700 juta bagi menganjurkan temasya dwitahunan yang jika dianjurkan akan menggunakan model penganjuran bersama dengan kerajaan negeri.

Beberapa kerajaan negeri sudah menyatakan kesudian untuk bekerjasama termasuk Sarawak yang bersetuju memperuntukkan RM350 juta iaitu separuh daripada anggaran kos bagi menganjurkan 18 acara bagi Sukan SEA dan lapan acara untuk Para ASEAN.

Hannah berkata Sabah juga memperuntukkan RM100.528 juta bagi pengelolaan 11 acara bagi Sukan SEA dan empat acara bagi Para ASEAN, manakala Pulau Pinang bersetuju memberi RM15 juta bagi penganjuran acara billiard.

"Terdapat juga beberapa negeri lain yang menulis surat kepada kita (Kementerian Belia dan Sukan) menyatakan bersetuju tetapi tidak mahu beri peruntukan," katanya pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Negara hari ini, bagi menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu keputusan Jemaah Menteri berkenaan penganjuran Sukan SEA 2027.

Hannah berkata keputusan akhir bakal dibuat Jemaah Menteri dalam masa terdekat setelah mengambil kira kesemua aspek berkaitan termasuk kesan penganjuran Sukan SEA dan Para ASEAN 2027 terhadap ekonomi negara.

Sementara itu, menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa yang ingin tahu jika kerajaan akan menyediakan stadium khas buat sukan sepak takraw, Hannah berkata pihaknya sudah memaklumkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia mengenai senarai stadium kelolaan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri di Lembah Klang yang sesuai untuk digunakan.

"Saya telah nyatakan kepada persatuan lihat dahulu stadium mana yang sesuai dan kita boleh bincang bagaimana untuk berkongsi stadium itu atau pun melalui kerjasama yang boleh diwujudkan.

"Kaedah ini diguna pakai untuk memastikan kita dapat menjimatkan wang di samping mengoptimumkan kegunaan kemudahan sukan sedia ada," katanya.

-- BERNAMA