KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan 900 klinik kesihatan di seluruh negara akan menawarkan perkhidmatan konsultasi maya menjelang akhir tahun ini.

KKM menerusi jawapan bertulis di Dewan Negara yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen memaklumkan perkhidmatan konsultasi itu merangkumi perkhidmatan rawatan susulan bagi penyakit berjangkit, penyakit tidak berjangkit, antenatal, perancang keluarga dan perkhidmatan kesihatan primer yang lain.

Setakat Julai tahun ini, 387 daripada 1,093 klinik kesihatan di seluruh negara sudah menyediakan perkhidmatan konsultasi berkenaan.

"Peluasan perkhidmatan konsultasi maya ini bertujuan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan jarak jauh terutama kepada penduduk di kawasan luar bandar yang boleh diakses menggunakan telefon bimbit.

"Pandemik COVID-19 telah membuktikan pendekatan ini dapat membantu petugas kesihatan memberikan penjagaan kesihatan optimum dan berterusan kepada pesakit," menurut KKM bagi menjawab pertanyaan Senator Prof Tan Sri Dr Mohamed Haniffa Abdullah berhubung langkah dalam memastikan rakyat dapat mengakses dan memanfaatkan teknologi perubatan terkini.

Selain itu, KKM memaklumkan aplikasi MySejahtera turut diletakkan sebagai aplikasi kesihatan digital kementerian itu yang berfungsi sebagai platform utama untuk mengakses kepada perkhidmatan kesihatan awam berasaskan rangka kerja Intervensi Kesihatan Digital (DHI).

Antara perkhidmatan dapat dimanfaatkan pengguna menerusi aplikasi itu ialah perkhidmatan kesihatan On-Demand, penyampaian maklumat dan pendidikan kesihatan yang mudah dan pantas, penjagaan dan sokongan kesihatan individu serta pelaporan dan penglibatan komuniti.

"Dengan adanya aplikasi kesihatan digital ini, ia dapat memberikan kemudahan signifikan kepada rakyat, terutamanya mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan disebabkan oleh faktor fizikal ataupun geografi," menurut KKM.

Sementara itu, KKM telah menjalankan 8,373 pemeriksaan daripada keseluruhan 11,648 kantin dan dapur asrama sekolah bermula awal tahun ini hingga Jun lepas bagi memastikan sekolah patuh kepada Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Daripada jumlah itu, 52 kantin dan dapur asrama sekolah ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 berbanding 124 buah (sepanjang 2023)," menurut KKM bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai pendekatan untuk mengelakkan kes keracunan berlaku di kantin-kantin sekolah.

-- BERNAMA