Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata berdasarkan rekod keluarga berkenaan menerima bantuan skim agihan dari Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang disalurkan melalui ZPP.
"Keluarga ini adalah penerima Skim Kewangan Bulanan dari ZPP. Bagi skim ini, ZPP akan sentiasa mengemas kini kadar jumlahnya agar mengikut kesesuaian semasa.
"Mereka juga penerima dana agihan Skim Kewangan Sekaligus. Selain skim berkenaan, ZPP membantu membayar kos deposit sewaan rumah dan mereka juga sering hadir ke ZPP untuk mendapatkan bantuan kecemasan" katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad merangkap Yang Dipertua MAINPP berkata MAINPP melalui agensinya, ZPP sentiasa prihatin keperluan asnaf di Pulau Pinang dan akan memantau perkembangan keluarga berkenaan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat keperluan lain yang diperlukan.
Semalam, Menteri Sumber Manusia Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam memuat naik kisah pasangan suami isteri itu bersama lima anak mereka yang menjadikan kereta sebagai tempat berteduh.
Tersentuh dengan kisah dilalui mereka, Sim mencarikan rumah baharu dengan bantuan sewa setahun, membelikan perkakasan rumah dan mendapatkan kerja buat lelaki terbabit di sebuah syarikat lori manakala anak-anaknya dibantu untuk bersekolah semula.
-- BERNAMA