Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima laporan kejadian yang dipercayai berlaku selepas pemandu terlanggar bateri kenderaan itu, pada jam 3.29 petang.
"Buat masa ini, siasatan awal mendapati kebakaran disyaki berpunca akibat pemandu terlanggar bateri di tengah jalan. Bagaimanapun kebakaran tersebut berjaya dipadam oleh pihak bomba.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pemandu kereta berkenaan juga selamat dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Pulau Pinang, memaklumkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 3.18 petang.
"Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dengan bantuan BBP Batu Kawan tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah kereta yang dalam perjalanan dari Batu Kawan menghala ke Batu Maung.
"Kereta itu terbakar 80 peratus dan kebakaran telah dapat dipadamkan," katanya.
Terdahulu, rakaman kereta berkenaan yang terbakar tular di media sosial.