KOTA BHARU: Polis menahan 10 warga Myanmar termasuk tujuh lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak di Tumpat semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata kesemua pendatang tanpa izin berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan pada 7.40 malam semasa unit peronda MPV menjalankan rondaan.

Beliau berkata polis mengesan sebuah Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan kereta itu berhenti namun tidak diendahkan dan terus memecut menghala ke Wakaf Bharu.

"Anggota peronda mengekori kereta itu dan telah menghubungi bilik gerakan Tumpat untuk bantuan unit rondaan bermotosikal dan anggota ronda cegah jenayah dari Balai Polis Wakaf Bharu.

"Apabila sampai di jalan Kampung Bechah, Temalang di sini, suspek bertindak melanggar beberapa kenderaan awam sebelum terbabas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kereta dipandu suspek itu didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan, Seksyen 55E Akta Imigresen dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu agar menghubungi bilik gerakan IPD Tumpat di talian 09-7257222.

-- BERNAMA