Beliau berkata NCFS yang merupakan satu cabang saintifik di bawah PKKM bertanggungjawab untuk menjana data saintifik serta pengurusan risiko dalam pembangunan dasar, standard dan perundangan makanan.
"Pengoperasian NCFS adalah sesuatu yang kami (KKM) rasa sangat bangga dan mahu menjadikannya pusat kecemerlangan dari sudut memberikan khidmat secara menyeluruh dari ladang hingga ke meja (from farm to table) dalam memastikan keselamatan dan kualiti makanan untuk rakyat Malaysia terjamin.
"Usaha ini juga adalah bukti jelas bahawa kita sedang bergerak ke arah pembangunan yang mampan dan inklusif, sejajar dengan aspirasi negara dan peranan utama PKKM sebagai 'Gatekeeper for Food Safety' di Malaysia," katanya selepas Majlis Penyerahan Bangunan Baharu NCFS oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada KKM, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Dzulkefly berkata pembangunan NCFS adalah manifestasi usaha berterusan KKM dalam mengangkat martabat PKKM serta usaha memperkasakan keselamatan dan kualiti makanan negara, seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat dan daya saing di peringkat global.
Beliau berkata untuk memperkasakan lagi PKKM, jawatan ketua program yang sebelum ini bertaraf pengarah kanan kini telah dinaik taraf kepada Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan.
"Ini sekali gus menjadikan KKM mempunyai enam program, yang kesemuanya kini diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, berbanding sebelum ini hanya tiga," katanya, sambil menambah bahawa selain PKKM, dua lagi program yang dinaik taraf ialah Program Perkhidmatan Farmasi dan Program Kesihatan Pergigian.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata NCFS akan memainkan peranan penting dalam memantapkan kawalan keselamatan makanan negara.
Menurutnya ini akan dilakukan melalui inisiatif seperti penentusahan Food Grade untuk makanan dan bahan bersentuhan makanan, antaranya bagi ramuan, bahan pembungkusan, sarung tangan dan peralatan memasak serta menjalankan simulasi pemprosesan makanan bagi membantu industri dalam penetapan titik kawalan kritikal (CCP).
Selain itu, katanya NCFS juga bertanggungjawab melaksanakan penganjuran program Ujian Kecekapan bagi menyokong kompetensi perkhidmatan analisis makmal makanan di Malaysia dan menjalankan formulasi produk makanan bagi keperluan perundangan serta penjanaan profil makanan untuk tujuan penetapan keaslian makanan.
Sementara itu, Nanta dalam ucapannya berkata bangunan NCFS telah dibangunkan secara Reka dan Bina Khas menggunakan teknologi tinggi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan skor IBS melebihi 70 peratus bagi memastikan pembinaan yang efisien dan berkualiti tinggi.
Beliau berkata bangunan NCFS juga mengaplikasikan elemen kecekapan tenaga sekali gus menyokong kelestarian dan pembangunan mampan.
Nanta turut menyatakan bahawa sehingga hari ini, terdapat 150 projek fasiliti kesihatan di mana KKM telah melantik Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana dengan kos berjumlah RM14.64 bilion.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 16 projek yang telah siap diserahkan kepada KKM tahun ini, antaranya Hospital Seri Iskandar, Perak, Hospital Bachok, Kelantan Hospital Dungun, Terengganu dan Klinik Kesihatan Kuala Triang, Pahang.
-- BERNAMA