Serangan ini berlaku ketika para perantara Arab dan Amerika Syarikat (AS) berusaha menyelesaikan perbezaan antara Hamas dan Israel mengenai perjanjian gencatan senjata yang dimeterai sejak 19 Januari lalu.
Dakwa tentera Israel, serangan udara itu menyasarkan "pengganas yang terlibat dalam aktiviti mencurigakan" di tengah Gaza.
Di Hospital Al-Ahli Arab Baptist, ahli keluarga mangsa yang terkorban tiba untuk memberi penghormatan terakhir, duduk mengelilingi jasad yang dikafankan dengan kain putih.
Pasukan perubatan dan saudara-mara mangsa berkata bahawa keempat-empat mereka, termasuk dua beradik, adalah orang awam.
Israel telah menghantar delegasi ke Doha, Qatar, untuk rundingan gencatan senjata, sementara pemimpin Hamas telah menamatkan pusingan rundingan di Kaherah awal minggu ini.
Namun, masih belum ada petanda kemajuan bagi menyelesaikan pertikaian yang berisiko mencetuskan konflik bersenjata semula.
Perang di Gaza dihentikan sejak 19 Januari dalam fasa pertama gencatan senjata, di mana Hamas telah menukar 33 tebusan Israel dan lima rakyat Thailand dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin.
Hamas mahu memulakan rundingan fasa kedua yang dijangka mencapai persetujuan mengenai penarikan penuh tentera Israel dari Gaza.
Namun, Israel menuntut pembebasan baki tebusan tanpa perlu memulakan rundingan fasa kedua.
Pada Selasa, Hamas menuduh Israel sengaja mencetuskan kebuluran di Gaza dengan terus menyekat kemasukan bantuan dan memutuskan talian elektrik terakhir yang berfungsi ke wilayah itu.
Bulan ini, Israel telah mengurangkan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api sebagai tekanan terhadap Hamas dalam rundingan gencatan senjata.
Pada Ahad, Israel turut mengumumkan pemotongan bekalan elektrik, yang menurut kumpulan bantuan akan menyebabkan penduduk Gaza kekurangan air bersih.
Ketua Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Gaza memberi amaran bahawa sekatan berterusan Israel terhadap bantuan boleh mencetuskan satu lagi krisis kebuluran di wilayah itu.
