PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini tampil mengakui kesilapannya merokok di tempat larangan dalam kejadian yang tular pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengakui kesilapannya merokok di tempat larangan dan memohon maaf. Beliau akan membayar kompaun yang dikenakan oleh Kementerian Kesihatan.
  • Pegawai Kesihatan Daerah Seremban telah menyerahkan notis kompaun kepada Mohamad. Notis ini akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menetapkan jumlah kompaun.
  • Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan bahawa tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang, dan pejabat Menteri Luar telah dimaklumkan mengenai perkara ini.


Beliau turut memohon maaf dan memaklumkan akan membayar kompaun yang bakal dikenakan oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

"Pagi tadi saya telah menerima kedatangan Pegawai Kesihatan Daerah Seremban kerana saya tidak balik ke Seremban.

"Saya minta mereka kalau boleh datang sebab esok saya akan ke Bangkok. Mereka datang dan saya menerima notis kompaun tersebut.

"Notis kompaun ini akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menetapkan kompaun itu berapa dan bila untuk mengambil tindakan selanjutnya," kata Mohamad.


Kesalahan merokok: Tok Mat mohon maaf, akan bayar kompaun

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Malaysia kepada Palestin di bawah Inisiatif Kerajaan Jordan pada Rabu.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi platform media sosial X, memaklumkan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban diberi kuasa untuk berjumpa dan menyerahkan notis kesalahan kepada Mohamad.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya berpegang kepada prinsip bahawa tiada siapa pun boleh mengatasi undang-undang.

Tambahnya, pejabat Menteri Luar sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini, tular foto Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat sedang memegang sebatang rokok ketika duduk bersama sekumpulan lelaki di premis awam dipercayai sebuah restoran.

Perbuatan itu jelas melanggar Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Peraturan 11 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 menyatakan bahawa sesiapa yang didapati bersalah merokok di kawasan larangan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.