KUALA LUMPUR: Timor-Leste berkemungkinan besar menyertai ASEAN sebagai anggota tetap pada Sidang Kemuncak ke-47 ASEAN di Kuala Lumpur Oktober ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata bagi mempercepatkan proses kemasukan Timor-Leste sebagai anggota tetap ASEAN satu unit khas ditubuhkan di sekretariat ASEAN di Jakarta.

Pada 6 Feb, Mohamad menyatakan Malaysia menyumbang AS$200,000 kepada Unit Timor-Leste untuk membantu dan memudahkan proses pelaksanaan Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh Timor-Leste ke ASEAN.

Katanya terdapat 88 Instrumen Undang-Undang yang perlu dipatuhi Timor-Leste untuk diterima menjadi anggota tetap ASEAN dan daripada jumlah itu 69 merupakan tonggak ekonomi.

"Saya telah minta untuk sektor ekonomi di bawah (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melihat semula sama ada keperluan-keperluan instrumen yang perlu mereka patuhi itu masih lagi terpakai atau tidak.

"Banyak yang sudah tidak lagi relevan. Jadi sedang dirundingkan supaya membuang sahaja instrumen-instrumen itu sebagai tidak perlu ditangani oleh pihak Timor-Leste," katanya kepada pemberita pada sesi Santai Teh Tarik Concorde Club di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Menurut Mohamad telah ada persetujuan secara dasar jika diterima, Timor-Leste tidak dapat mematuhi kesemua instrumen ini.

"Jadi dalam masa terdekat ialah memberikan Timor-Leste memenuhi 30 peratus (instrumen) terlebih dahulu dan memberikan mereka masa tiga, empat atau lima tahun setelah mereka menjadi ahli tetap ASEAN untuk perlahan-lahan, beransur-ansur mematuhi dan menandatangani instrumen-instrumen yang perlu ditandatangani.

"Ini yang sedang kami (Malaysia) lakukan," jelasnya.

Timor-Leste ketika ini masih menunggu keputusan konsensus negara-negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh badan serantau itu.

Negara itu juga diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.

Timor-Leste juga diberikan status pemerhati bagi mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN, termasuk sesi pleno.

-- BERNAMA