SEPANG: Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

Xanana Gusmao diberikan upacara pelepasan permaidani merah dan kawalan kehormatan oleh pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Penerbangan Malaysia Airlines yang membawa Xanana Gusmao dan delegasinya berlepas dari Terminal 1 KLIA ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurai Rai, di Bali, Indonesia, pada 9 pagi.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Ini merupakan lawatan sulung Xanana Gusmao ke Malaysia sejak memegang jawatan pada 1 Julai tahun lepas.

Semalam, Xanana Gusmao mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu-isu serantau dan antarabangan yang berkepentingan bersama.

Susulan pertemuan itu, Malaysia dan Timor-Leste bersetuju memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang pendidikan, pembinaan kapasiti dan pertahanan bagi menguatkan hubungan dua hala dan mempromosikan kestabilan serantau.

Xanana Gusmao turut menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Beliau turut menyampaikan syarahan umum bertajuk International Diplomacy in an Increasingly Fragmented and Fragile World di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), menekankan keperluan mendesak untuk diplomasi yang berkesan bagi mengemudi dunia yang semakin dilanda konflik dan ketidakstabilan.

Pada 2023, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste direkodkan sebanyak RM196.7 juta.

Jumlah eksport Malaysia ke Timor-Leste bernilai RM195 juta manakala import produk dari Timor-Leste berjumlah RM1.7 juta. - BERNAMA