Bantuan berupa wang tunai itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan membasmi kemiskinan tegar di kawasan berkenaan.
"Insya-Allah, dengan bantuan yang tepat, Puan Azizah sekeluarga akan dapat dibantu untuk keluar daripada kelompok kemiskinan tegar.
"Perjalanan untuk keluar daripada kemiskinan tegar sudah tentu tidak mudah, tetapi dengan sokongan berterusan, saya yakin Puan Azizah mampu menikmati kehidupan yang lebih baik," kata Ahmad Farhan dalam hantaran menerusi Facebooknya hari ini, yang turut dikongsikan oleh Anwar.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha itu mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang untuk membantu Azizah yang bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak bagi memastikan bantuan susulan dapat disalurkan dengan kadar segera.
Ahmad Farhan berkata keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat yang memerlukan sentiasa menjadi keutamaan.
"Perkara ini jelas difahami oleh YAB Perdana Menteri, bahawa terdapat keperluan mendesak untuk kita melipatgandakan usaha kita membasmi kemiskinan tegar," katanya.
-- BERNAMA
