Siasatan pihak berkuasa akhirnya membawa kepada penahanan seorang lelaki yang dipercayai membunuh ibu tunggal kepada empat anak dikenali sebagai Sinta Handiyana, 40, di Danau Muara Baru, Penjaringan, Jakarta Utara di Indonesia.
Suspek, Fauzan Fahmi, 43, diberkas di rumahnya di Penjaringan, Jakarta Utara dan merupakan teman rapat mangsa.
"Fauzan masih disoal siasat oleh polis untuk mengetahui motif dia melakukan pembunuhan kejam tersebut," kata jurucakap pihak berkuasa, Ade Ary Syam Indradi
Terdahulu, mayat Sinta disumbatkan di dalam karung besar manakala kepalanya yang dibungkus dalam karung putih ditemui di sebuah belukar di kawasan perumahan di wilayah Pluit yang terletak sejauh 600 meter dari lokasi penemuan pertama.
"Mayat mangsa dalam keadaan tangan terikat dan dibungkus lima lapisan termasuk dibalut dengan tilam. Bau kurang menyenangkan membawa kepada penemuan karung tersebut malah darah pada tubuhnya juga kelihatan agak baru," ujarnya lagi.
Laporan awal mendapati Sinta sempat menghubungi rakannya pada Ahad sebelum hilang tanpa khabar berita selama dua hari. - Sinar Harian/ Agensi