Portal Thaiger melaporkan, pegawai dari Balai Polis Mueang Chachoengsao dipanggil ke Jalan Nombor 304 dekat daerah Mueang untuk menyiasat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Isuzu MU-X berwarna putih yang mencurigakan kira-kira jam 9 pagi.
Ia selepas seorang pejalan kaki ternampak lubang tembakan di tingkap tempat duduk penumpang kiri kenderaan dan kemudiannya memaklumkan polis.
Selepas memeriksa kenderaan itu, pegawai polis menemui mayat lelaki warga tempatan berusia 33 tahun, Chatchai Hongcharoen dan wanita, Natticha, 26, dalam keadaan tidak bernyawa.
Chatchai yang juga Ahli Majlis Perbandaran Daerah Kecil Plaeng Yao, ditemui di tempat duduk pemandu dengan kesan tembakan di bahagian kanan kepalanya.
Dia masih memegang pistol Sig Sauer 9mm manakala Natticha, yang duduk di tempat duduk penumpang, juga mengalami luka tembakan di kepala kanannya.
Natticha dilaporkan hilang di Balai Polis Plaeng Yao oleh suaminya, Ttitiwat, 23, pada 16 Februari lalu.
Thitiwat memberitahu ThaiRath bahawa isterinya meninggalkan rumah dengan kenderaan SUV pada pagi 16 Februari dan tidak pulang.
Lelaki itu tidak dapat menghubungi isterinya yang keluar dengan memakai rantai dan gelang emas serta dikhuatiri menjadi mangsa rompakan.
Menerusi video yang dikongsi oleh Saluran 7, Thitiwat dilihat di tempat kejadian di mana mayat isterinya ditemui.
Kelihatan Thitiwat menangis dan seorang rakan terpaksa mengiringinya untuk membolehkan polis meneruskan siasatan mereka.
Artikel ini diterbitkan di portal Gempak
