Walaupun kudung kedua belah kaki dalam tragedi kemalangan dan penyakit diabetes yang dihidap, N. Megala, 44, tidak pernah putus asa mencari nafkah selaku ketua keluarga.
Dia yang kematian suami sembilan tahun lalu mengakui, kini tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu, memandangkan kesihatannya semakin merosot.
Kerja sampingan sebagai tukang jahit juga sudah tidak mampu dilakukan kerana otot kakinya mulai lemah dan terpaksa bergantung bantuan orang lain untuk bergerak.
Dugaan hidupnya bertambah berat apabila kedua-dua anaknya, R. Rineshaa, 15, dan R. Ahrrathe, 11, juga menghidap diabetes yang memaksa mereka bergantung kepada ubat setiap bulan.
Rineshaa yang juga anak sulung Megala turut mengalami masalah penglihatan di mata kirinya kesan daripada penyakit tersebut dan telah dirujuk ke hospital.
Menurut Megala, walaupun menerima pencen penakat dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM1,200 setiap bulan, namun ia tidak cukup bagi menampung perbelanjaan harian, termasuk ubat-ubatan dan keperluan asas.
"Empat tahun lalu saya terlibat kemalangan dengan lori, kebetulan saya ada menghidap diabetes dan kaki kanan tak dapat diselamatkan dan dipotong paras lutut.
"Kemudian, kaki kiri pula alami jangkitan dan terpaksa dipotong hingga atas lutut.
"Saya memang tiada pendapatan langsung sebab tak mampu bekerja dan hanya bergantung dengan bantuan Perkeso dari mendiang suami.
"Kaki palsu yang saya dapat hasil sumbangan tidak lagi boleh digunakan kerana otot sudah tidak kuat dan boleh kena jangkitan sebab diabetes.
"Walau kudung kedua belah kaki tapi saya tetap kerja dengan memenuhi jemputan menyanyi di majlis keraian serta perkahwinan dengan memakai kaki palsu atau kerusi roda," katanya ketika ditemui di rumahnya di No 6, Lorong Anandoo, Buntong.
Dia yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kini menetap di rumah sewa tersebut dengan bayaran RM650 sebulan.
Katanya, rumah tersebut paling strategik bagi memudahkan anaknya ke sekolah dengan berjalan kaki selain dia perlu berulang-alik ke hospital.
Kini, anak sulungnya yang mengambil alih tanggungjawab dengan membantu mengemas rumah dan memasak setelah pulang dari sekolah.
Ditanya mengenai bantuan lain, Megala berkata, dia pernah memohon dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak.
Namun, menurutnya tidak berjaya kerana difahamkan tidak layak memohon sekiranya telah mendapat bantuan kerajaan seperti Perkeso.
"Pencen penakat itu memang tak cukup, saya sudah beberapa kali mohon bantuan JKM termasuk menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, tapi tidak berjaya.
"Rayuan pun tidak berjaya dan ditolak, sebab katanya sudah dapat bantuan dari kerajaan iaitu Perkeso.
"ADUN Buntong ada juga beri bantuan seperti kotak makanan untuk ringankan beban kami," katanya lagi.
Jika terputus bekalan makanan, Megala berkata keluarga, jiran dan kenalan yang banyak membantu dengan menghulurkan sumbangan dan barang dapur.
"Selagi saya ada kudrat untuk cari nafkah, saya akan buat, tetapi keadaan kesihatan saya sekarang tidak mengizinkan.
"Kalau boleh saya minta JKM pertimbangkan permohonan saya untuk sedikit bantuan, dengan itu dapat saya tampung perbelanjaan kami.
"Lagipun bil air dan elektrik pun sudah tertunggak beberapa bulan dan pernah dipotong. Saya tak mampu nak bayar dan harapkan bantuan kawan. Saya tidak akan minta bantuan orang lain kalau tidak terdesak seperti ini.
"Untuk ubat diabetes kami tiga beranak perlukan ubat dan kosnya kira-kira RM200 sebulan, saya juga perlu bekalan susu dan lampin pakai buang," katanya.
Bagi orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan atau pertanyaan lanjut, boleh hubungi Megala di talian 017-8652284.