KUALA LUMPUR: Insiden ibu tunggal yang ditinggalkan oleh suami tanpa diceraikan dan dinafikan daripada menerima bantuan Kerajaan adalah membimbangkan.

Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender (KANITA) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Nor Hafizah Selamat berkata, golongan wanita yang berdiri di atas kaki sendiri selepas dibiar tergantung tidak bertali tidak wajar diabaikan daripada menerima manfaat yang dikhususkan untuk golongan ibu tunggal.

“Ada satu lagi kumpulan ibu tunggal yang tercicir yang dikenali sebagai ibu tunggal de facto. Ia merujuk kepada ibu tunggal yang ditinggalkan suami tanpa diceraikan.

“Apabila mereka pergi untuk dapatkan bantuan daripada agensi kerajaan, dan diminta untuk kemukakan Sijil Cerai, mereka tidak dapat berbuat demikian. Akhirnya mereka tidak dapat bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.


Jangan nafi hak, bantuan kepada golongan isteri ditinggal suami tanpa cerai - KANITA
 
Menurut Nor Hafizah, definisi ‘ibu tunggal’ oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) setakat 2015 adalah tidak menyeluruh dan masih membuka ruang kepada beberapa segmen ibu tunggal dalam negara yang tidak mendapat akses kepada bantuan Kerajaan.

‘Ibu tunggal’ menurut dokumen Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal KPWKM adalah meliputi parameter berikut:

Tambah Nor Hafizah, setakat 2021, KPWKM merekodkan sebanyak 940,375 ibu tunggal di seluruh negara.

Namun berdasarkan data Jabatan Pembangunan Wanita hanya sekitar 36 peratus ibu tunggal yang mendaftar dengan pihak agensi untuk mendapatkan penyaluran maklumat serta bantuan-bantuan berkaitan.

“Apabila istilah ‘ibu tunggal’ didefinisikan semula pada 2015, didapati 235,240 ibu tunggal telah direkodkan. Daripada jumlah itu 83,000 telah mendaftar dengan Jabatan Pembangunan Wanita iaitu 36 peratus sahaja.

“Maksudnya hanya mereka yang mendaftar boleh mendapat akses kepada bantuan-bantuan yang dikhususkan kepada ibu tunggal. Manakala mereka yang tidak mendaftar akan tercicir,” jelasnya.