KUALA LUMPUR: Keterlibatan golongan wanita dalam misi kesukarelawanan bantuan bencana mempunyai peranan penting dalam menyumbang kepada kelancaran operasi bantuan. 


Ringkasan AI
  • Keterlibatan wanita dalam misi kesukarelawanan bantuan bencana penting untuk memastikan keperluan khusus mangsa wanita dipenuhi, seperti pakaian dalam dan tuala wanita.
  • Wanita cenderung mempunyai nilai empati dan sifat prihatin yang dominan, membantu dalam memberikan bantuan psikososial kepada mangsa banjir.
  • Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menyeru lebih ramai wanita menjadi sukarelawan untuk menjadikan bantuan lebih inklusif dan mudah diakses oleh semua golongan.


Menurut Presiden Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) UPM, Nur Khairunnisa Abd Rahim, ini kerana penyertaan golongan itu dapat memastikan keperluan khusus mangsa wanita dapat dipenuhi.

Antara lain, nilai empati dan sifat prihatin wanita yang lebih dominan membantu dari segi bantuan psikososial kepada mangsa banjir.

"Biasanya kalau contoh untuk pakaian, biasa orang akan tertinggal pakaian dalam, tuala wanita (apabila menyampaikan bantuan).

"Jadi dengan adanya sukarelawan wanita, kita akan lebih fokuskan kepada barangan keperluan diri mereka," katanya dalam program AWANI Pagi pada Selasa.

Terdahulu, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) pada Isnin menyeru lebih ramai wanita menjadi sukarelawan untuk berganding bahu dalam organisasi kemanusiaan bagi membantu mereka yang memerlukan, terutama semasa berdepan bencana.

Pengerusi BSMM, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata kehadiran sukarelawan wanita di lapangan akan menjadikan bantuan lebih inklusif dan mudah diakses oleh semua golongan.