KPM memaklumkan pengambilan sukarelawan guru Bahasa Inggeris dari Singapura hasil perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya Lawrence Wong Jun lepas berbentuk hubungan diplomasi antara kedua-dua negara dan ia dibiayai oleh kerajaan Singapura.
KPM berkata cadangan tersebut sedang diteliti, terutama dari sudut pelaksanaan di institusi pendidikan KPM bagi memastikan ia selari dengan dasar serta peraturan sedia ada, manakala sukarelawan berkelayakan sedang dikenal pasti bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran.
"Skim ini bertujuan untuk membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris murid di kawasan miskin bandar, pinggir bandar dan luar bandar, termasuk Sabah dan Sarawak," kata KPM dalam kenyataan bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri Ti Lian Ker yang ingin tahu kesan pengambilan sukarelawan itu kepada graduan dan guru tempatan.
"Penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dapat membantu meningkatkan daya saing negara, memudahkan perdagangan di peringkat antarabangsa serta membolehkan akses kepada pengetahuan terkini khusus dalam bidang sains dan teknologi," kata KPM.
Sementara itu KPM memaklumkan hasil libat urus bersama pihak berkepentingan mendapati masih belum ada keperluan untuk memperluaskan Program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).
KPM berkata sesi libat urus dengan badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa negeri dan tempatan telah diadakan bagi mendapatkan input serta pandangan dalam pengendalian akses pendidikan kepada kanak-kanak gelandangan warganegara tanpa dokumen atau seumpamanya di seluruh negara.
Sesi libat urus itu melibatkan 11 negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Pahang, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Sarawak dan Sabah.
"Bagaimanapun hasil libat urus dengan 11 negeri, didapati masih belum ada keperluan bagi peluasan Program SBJK di negeri tersebut," kata KPM dalam menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit mengenai kekangan yang dihadapi KPM dalam memperluaskan program SBJK.
-- BERNAMA