Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Skuad Ihsan MADANI adalah bukti komitmen kementeriannya dalam memupuk semangat kesukarelawanan, solidariti, dan empati dalam kalangan masyarakat.
"Pasukan ini bukan sahaja berfungsi sebagai sokongan kepada usaha-usaha perpaduan, tetapi juga sebagai medium untuk mendekati komuniti secara langsung dan menawarkan bantuan secara cekap serta menyeluruh.
"Skuad ini akan memainkan peranan penting dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif perpaduan, termasuk penyaluran bantuan kepada golongan yang memerlukan terutama dalam situasi kecemasan dan bencana," katanya dalam kenyataan semalam.
Skuad Ihsan MADANI merupakan cetusan idea Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar untuk penjawat awam diaturgerakkan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.
-- BERNAMA