Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata angka ini meningkat berbanding tahun 2023, yang mencatatkan 464,076 akaun dipotong dengan tunggakan sebanyak RM945,435,794.07.
“Berdasarkan data, jumlah akaun dan tunggakan bil elektrik yang terlibat dalam proses pemotongan bekalan terus meningkat.
“Ini menunjukkan isu kelewatan pembayaran semakin serius,” katanya dalam sesi Dewan Rakyat pada Selasa..
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah kes pemotongan bekalan elektrik oleh TNB dan tunggakan mengikut negeri serta kategori pengguna bagi 2023 hingga September 2024.
Akmal menjelaskan, antara faktor kelewatan pembayaran adalah kekangan kewangan pengguna, sikap tidak bertanggungjawab seperti mendaftarkan akaun atas nama bukan pemilik premis, serta amalan meletakkan pembayaran bil elektrik sebagai keutamaan terakhir.
“Kes ‘cabut lari’ juga menjadi salah satu sebab utama, selain ada pengguna yang hanya menjadikan pembayaran TNB sebagai senarai terakhir,” tambah beliau.
Katanya, lima negeri yang merekodkan tunggakan tertinggi pada 2023 ialah Selangor, Terengganu, Perak, Pahang, dan Negeri Sembilan.
Pada 2024 pula, Selangor kekal mencatatkan jumlah tertinggi, diikuti Kuala Lumpur, Perak, Johor, dan Terengganu.