KUALA LUMPUR: Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia akan bermula esok hingga 14 Sept ini di Kuching, Sarawak antaranya bagi memperjelas peranan menyeluruh institusi Parlimen dan Speaker di negara ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul berkata persidangan itu juga menekankan usaha untuk mendekatkan institusi legislatif kepada masyarakat melalui program pendidikan, dialog bersama rakyat dan inisiatif keterlibatan media.

Beliau berkata Parlimen memainkan peranan lebih luas daripada sekadar menjalankan persidangan menerusi pelbagai program penglibatan awam dan pendidikan terhadap pihak berkepentingan.

"Melalui inisiatif seperti persidangan ini, peranan menyeluruh institusi Parlimen dan Speaker dalam demokrasi diperjelaskan sekali gus merubah persepsi bahawa Parlimen hanya bersidang 70 hari setahun sahaja.

"Ini juga membuktikan komitmen Parlimen Malaysia dan Dewan Undangan Negeri untuk terus memperkasakan institusi legislatif dengan menggalakkan penglibatan lebih dekat dan terus bersama rakyat," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Parlimen Malaysia hari ini.

Menurut kenyataan itu Johari akan membentangkan kertas kerja bertajuk 'Memperkukuhkan Demokrasi Berparlimen Melalui Penglibatan Awam Yang Progresif' pada persidangan berkenaan.

Johari juga dijadual mengadakan syarahan 'Bicara Ketatanegaraan: Membangun Masa Hadapan' kepada warga pendidik Sarawak di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak pada 12 Sept bertujuan memperkukuh pemahaman mengenai peranan dan institusi legislatif serta Speaker, prinsip ketatanegaraan serta peranan warga pendidik dalam memupuk kesedaran dan tanggungjawab sebagai pembentuk generasi masa depan.

Persidangan itu juga akan menyaksikan pembentangan kertas kerja daripada Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah bertajuk 'Persoalan: Adakah Dewan Negara Institusi Rubber Stamp? Kuasa Speaker: Satu Coretan' dan 'Penggubalan Peraturan Mesyuarat' oleh Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.

-- BERNAMA