Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata cadangan pindaan itu telah dibentang kepada Peguam Besar Negeri Sabah yang tiada halangan terhadap perkara itu.
"Secara ringkasnya terdapat 35 seksyen dipinda, 48 seksyen peruntukan baharu, 26 seksyen kekal, dan 13 seksyen atau subseksyen dimansuhkan.
"Pindaan perlembagaan berhubung kewarganegaraaan yang telah diluluskan pada 17 Okt lepas juga memerlukan Ordinan CAP.123 ini turut diteliti dan dibuat pindaan bagi perkara-perkara yang berkaitan," katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) sama ada kerajaan bercadang meminda Ordinan CAP.123 bagi menyelesaikan isu kewarganegaraan di Sabah dan justifikasi kepada langkah itu.
Shamsul Anuar berkata sejak mula dikuatkuasakan pada 1 Mac 1951, ordinan yang telah diisytiharkan sebagai undang-undang Sabah yang dipersekutukan itu tidak pernah lagi dipinda, menyebabkan terdapat ordinan tidak lagi relevan dengan sistem pentadbiran semasa JPN.
Terdahulu, Isnaraissah Munirah ketika mengemukakan usul mengenai pendatang tanpa izin, isu warganegara dan bukan warganegara di Sabah antara lain memohon penjelasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengapa tiada jawapan diberikan bagi kelulusan permohonan warganegara di Sabah bagi tahun 1970 hingga 1990.
Beliau juga ingin tahu langkah Kerajaan Persekutuan untuk mempercepat pendaftaran MyKad Lewat untuk rakyat Sabah di kawasan pedalaman dan sama ada terdapat perbincangan telah pun dibuat dengan kerajaan negeri mengenai penubuhan Fast Track Lane untuk tujuan itu.
Menjawab perkara itu, Shamsul Anuar berkata data permohonan kewarganegaraan di Sabah bagi tempoh 1970 hingga 1990 tidak dapat disediakan dengan segera ketika ini kerana perbezaan kaedah pengumpulan data pada waktu tersebut.
Walau bagaimanapun, katanya KDN telah menambah baik sistem pengurusan data kewarganegaraan bagi memastikan rekod permohonan kewarganegaraan pada masa kini didokumentasikan secara telus dan teratur.
Berkaitan isu pendaftaran MyKad lewat, beliau berkata JPN telah mengambil langkah proaktif bagi memudahkan penyelesaian kes Daftar Lewat Kad Pengenalan (DLKP) dengan permohonan DLKP boleh diterima di semua pejabat JPN seluruh negara serta melalui program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata dakwaan bahawa Kad Warga Asing Sabah (KWAS) bertujuan memberikan kewarganegaraan kepada warga asing adalah tidak berasas, sebaliknya bagi mengurus kehadiran pendatang tanpa izin di Sabah dan membolehkan keberadaan golongan itu dapat dikenal pasti dan dipantau dengan lebih baik.
-- BERNAMA