Tertuduh Mohd Alifah Mohd Sapie, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret M S Arunjothy.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada lima anak itu didakwa mencuri masing-masing seutas rantai leher dan tangan milik Nur Farhana Nisha Syazwan, 26.
Kejadian itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta Proton Saga di tepi Jalan Prima Setapak, Wangsa Maju di sini kira-kira pukul 2.40 pagi, 1 November lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Vivi'Asnita Zaina'Larifin tidak mencadangkan tertuduh diikat jamin kerana pertuduhan itu termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.
"Terpulang pada budi bicara mahkamah, tapi sekiranya mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat saya mohon satu wang jaminan yang tinggi," katanya.
Sementara itu, peguam Lavinia Raja yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin dan menetapkan jumlah jaminan yang munasabah kerana tertuduh perlu menanggung isteri dan lima anak berusia dua hingga 12 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Januari depan.
Sebelum ini media melaporkan bapa mangsa, Syazwan Abddulah, 59, mendakwa barang kemas dipakai anak perempuannya yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak di sini pada 1 Oktober lalu, hilang.
Syazwan yang juga pesara polis dilapor berkata dia dimaklumkan oleh pemilik rumah sewa anaknya berhubung penemuan mayatnya pada awal pagi, 1 Oktober lalu.
Difahamkan anaknya ditemukan anggota polis peronda yang membuat rondaan selepas menyedari kereta Proton Saga dinaikinya diparkir di kawasan terbabit dalam keadaan berkunci dengan enjin masih hidup dan lampu menyala.
Menurutnya, sebaik jenazah anaknya selamat dikebumikan di Banting, Selangor, dia terdetik untuk mencari barang kemas pemberian nenek serta kakaknya itu.
Sehubungan itu, polis menahan empat anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal berusia lingkungan antara 28 dan 35 tahun di sekitar Setapak, di sini.