Ringkasan AI
- Peningkatan Perbelanjaan Ubat-Ubatan: Perbelanjaan bagi pembelian ubat-ubatan pada 2023 meningkat sebanyak 30% berbanding 2015, dari RM2.3 bilion kepada RM3 bilion, disebabkan kenaikan harga ubat, pertambahan pesakit, dan penggunaan ubat baharu.
- Strategi Kesihatan KKM: KKM mengunjurkan peningkatan perbelanjaan ubat-ubatan dan melaksanakan beberapa strategi berpandukan Dasar Ubat Nasional (DUNas) seperti memastikan ketersediaan ubat-ubatan di bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML), menggalakkan pengilangan tempatan, serta penilaian dan pendaftaran produk farmaseutikal.
- Inisiatif Kemandirian Ubat ASEAN: KKM diberi mandat untuk menerajui inisiatif ASEAN Drug Security and Self-Reliance (ADSSR), bertujuan memastikan keterjaminan ubat-ubatan serantau dan meningkatkan kemandirian penghasilan ubat-ubatan di rantau ASEAN.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peningkatan peruntukan kewangan itu selari dengan kenaikan harga ubat-ubatan, pertambahan bilangan pesakit dan penggunaan ubat baharu mengikut kepakaran yang lazimnya masih dalam tempoh paten dan harga ubat lebih mahal.
"Menurut Laporan Statistik Program Perkhidmatan Farmasi, sebanyak RM23.25 bilion telah dibelanjakan untuk membeli ubat sejak tahun 2015 sehingga 2023.
"Kementerian Kesihatan (KKM) juga mengunjurkan jumlah perbelanjaan yang diperlukan untuk menampung keperluan ubat-ubatan di fasiliti-fasiliti KKM akan meningkat dari tahun ke tahun," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang ingin tahu jumlah keseluruhan perbelanjaan tahunan pembelian ubat-ubatan bagi hospital dan klinik kerajaan bermula 2015 serta jangkaan untuk lima tahun akan datang.
Azli juga ingin tahu perancangan kementerian untuk memastikan keterjaminan ubat-ubatan negara menerusi pembangunan teknologi dan kapasiti pengeluaran tempatan.
Dzulkefly berkata beberapa strategi telah dibangunkan berpandukan Dasar Ubat Nasional (DUNas) di bawah Komponen Akses Kepada Ubat-Ubatan antaranya memastikan ketersediaan ubat-ubatan di bawah Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML) menerusi galakan lebih banyak pengilangan tempatan.
Strategi lain katanya termasuk memberikan keutamaan kepada penilaian dan pendaftaran produk serta menambah baik ketelusan rantaian bekalan melalui pembangunan sistem penjejakan dan pengesanan produk farmaseutikal.
"Selain itu, KKM sedang bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem farmaseutikal di negara ini bermula daripada penemuan, kajian praklinikal dan klinikal, pengilangan, pengedaran dan sebagainya.
"Melalui sesi libat urus ini, KKM berusaha untuk mengenal pasti kekuatan dan kelebihan industri farmaseutikal tempatan bagi disyorkan semasa pembangunan pelan tindakan dan pelaksanaan kolaborasi strategik ASEAN Drug Security and Self-Reliance (ADSSR)," katanya.
Dzulkefly berkata Malaysia menerusi KKM diberi mandat sebagai negara peneraju inisiatif dalam ASEAN dengan objektif utama memastikan keterjaminan ubat-ubatan di peringkat serantau, seterusnya meningkatkan lagi kemandirian penghasilan ubat-ubatan di rantau ini.
"KKM juga sedang merangka polisi off-take susulan pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam Belanjawan 2025 yang bertujuan menggalakkan pengukuhan kapasiti pengeluaran ubat-ubatan tempatan," katanya.
-- BERNAMA