KUALA LUMPUR: Sebahagian besar kos perjalanan bagi lawatan kerja rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima negara lima baru-baru ini ditanggung oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang turut mengikuti program tersebut.


Ringkasan AI
  • Sebahagian besar kos perjalanan lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima negara baru-baru ini ditanggung oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta, iaitu sekitar 70 hingga 80 peratus kos penerbangan.
  • Pendekatan baharu diambil dengan menjemput syarikat seperti PETRONAS, Sapura Energy, Yinson, dan PROTON yang mempunyai kepentingan perniagaan serta pelaburan untuk menyertai rombongan dan menanggung kos perjalanan mereka.
  • Lawatan kerja rasmi ini melibatkan perjalanan ke Mesir, Arab Saudi, Peru, Brazil, dan Qatar, dengan jarak perjalanan yang jauh dan kos tinggi, namun disokong oleh sumbangan syarikat-syarikat berkaitan.


Perdana Menteri memaklumkan, kos penerbangan yang ditanggung pihak terbabit mencecah 80 peratus.

Katanya, ia pendekatan berbeza yang dibuat di bawah pentadbirannya memandangkan kos lawatan kerja rasmi ke luar negara lazimnya menelan perbelanjaan yang tinggi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, syarikat-syarikat berkenaan diundang dalam lawatan kerja itu dan mempunyai kepentingan perniagaan serta pelaburan.

"(Bagi lawatan kerja) baru-baru ini, kita buat cara lain sebab saya lihat kos perjalanan selalunya agak tinggi. Jadi, kali ini apa yang kita lakukan adalah dengan kerjasama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz).

"Kita undang syarikat-syarikat terbabit seperti PETRONAS, Sapura Energy, Yinson, PROTON dan syarikat semikonduktor yang datang mengikuti rombongan (negara). Mereka bayar tambang dan kos.

"Maknanya tak salah saya sekitar 70 atau 80 peratus kos penerbangan itu ditampung oleh syarikat yang ada kepentingan perniagaan dan pelaburan kerana kerajaan bantu syarikat ini sama ada import dan eksport.

"Jumlah sebenarnya (belum diketahui lagi) kerana saya baru balik semalam. Tetapi yang saya tahu kos itu memang tinggi kerana perjalanan dari KL (Kuala Lumpur) ke Kaherah, Riyadh, Lima, Rio de Janeiro dan Doha.

"Memang setengah dunia, tiga benua. Tetapi (sekitar) 75 peratus kos ditampung oleh syarikat berkenaan," katanya di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat mengenai jumlah implikasi kewangan hasil lawatan kerja ke beberapa negari baru-baru ini.

Anwar selamat tiba di tanah air semalam selepas mengadakan lawatan kerja rasmi bermula 9 November lalu, antaranya ke  ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil.

Beliau sebelum itu turut mengadakan lawatan kerja ke China dari 4 November hingga 7 November atas jemputan Premier China, Li Xiang.