KUALA LUMPUR: Perdana Datuk, Seri Anwar Ibrahim menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM3.17 juta bagi pelaksanaan program 90 buah rumah ibadat masyarakat India.

Ia melibatkan 88 buah kuil dan dua gereja yang diuruskan komuniti India di seluruh negara.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri R Ramanan, peruntukan khas tersebut telah diluluskan dan akan disalurkan serta-merta kepada pertubuhan-pertubuhan kuil melalui Kementerian Kewangan.

“Peruntukan ini sebenarnya bukan untuk membaiki kuil atau gereja, tetapi ini lebih kepada program-program untuk bantu penganut di kawasan tersebut, dan juga memberikan mereka peluang. Contohnya, kumpulan B40 yang ada di kawasan itu mungkin memerlukan tuisyen atau bantuan kelas agama.

“Ini adalah sumbangan khas Perdana Menteri, dan ia menunjukkan komitmen beliau terhadap komuniti India,” katanya di sini pada Ahad.

Ramanan menyampaikan bantuan kewangan khas tersebut kepada pengerusi dan wakil pengurusan rumah ibadat masyarakat India bagi mewakili Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata peruntukan khas tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan kebajikan semua rakyat termasuk kaum India sentiasa diutamakan.

“Kalau kita lihat, saya sudah melalui lima Perdana Menteri sebelum ini, kebanyakan kalau ada program, Perdana Menteri yang datang ke pentas.

“Tetapi Perdana Menteri kita, Anwar agak berbeza. Beliau tidak kisah tiada di pentas, yang penting kerja berjalan.

“Rakyat perlu mendapat manfaat, itu yang penting bagi beliau,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, sebanyak tujuh inisiatif dijalankan di bawah KUSKOP bagi komuniti India sepanjang 2024, termasuk peruntukan sebanyak RM60 juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

Setakat 19 Disember lalu, seramai 2,355 usahawan India telah menerima manfaat, dengan jumlah lebih RM57.4 juta disalurkan.